Kalau pemimpin Islam zalim, nak pertahankan juga? Tokoh Pondok tegur Hadi
Kenyataan yang membandingkan kezaliman pemerintah berdasarkan agama mencetuskan teguran daripada Pengerusi Kesatuan Pondok MADANI Kelantan, Baba Zulkarnain Harun, yang mengingatkan bahawa Islam tidak pernah mengajar umatnya mempertahankan kezaliman atas alasan perbezaan akidah.
Sebaliknya, beliau berkata, prinsip keadilan Islam terpakai kepada semua manusia tanpa mengira agama, bangsa, keturunan mahupun fahaman politik.
Beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 8 yang bermaksud: “Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.”
“Inilah prinsip Islam yang jelas. Keadilan tidak mengenal warna kulit, keturunan, kedudukan mahupun fahaman politik,” katanya dalam kenyataan media.
Baba Zulkarnain berkata, Rasulullah SAW diutuskan sebagai rahmat kepada seluruh alam, bukannya untuk menyemai prasangka dan permusuhan antara manusia.
Malah, katanya, sejarah Islam turut merekodkan tindakan Rasulullah SAW mengarahkan para sahabat berhijrah ke Habsyah kerana terdapat seorang raja Kristian, Najasyi, yang terkenal dengan sifat adilnya.
Menurut beliau, peristiwa itu membuktikan keadilan seseorang pemerintah perlu dihormati tanpa menjadikan agamanya sebagai ukuran mutlak.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa semakin tinggi ilmu dan kedudukan seseorang tokoh agama, semakin besar tanggungjawab untuk menjaga tutur kata, akhlak serta imej Islam.
“Ulama sepatutnya menjadi jambatan yang mendekatkan manusia kepada Islam, bukan membina tembok prasangka yang menjauhkan masyarakat bukan Islam daripada memahami keindahan agama ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak terjebak dengan budaya taksub terhadap pemimpin sehingga setiap kenyataan dipertahankan tanpa penelitian.
Katanya, menghormati ulama tidak bermaksud menutup ruang teguran kerana tiada manusia yang maksum selain nabi dan rasul.
Baba Zulkarnain turut membangkitkan kisah mimpi yang pernah diceritakan Hadi mengenai wajah Rasulullah SAW yang kelihatan kusut dan gelap serta bau bangkai anjing di Masjid Rusila.
Beliau mempersoalkan sama ada gambaran itu boleh dijadikan renungan terhadap cara Islam dipersembahkan melalui retorik politik yang keras dan memecahbelahkan masyarakat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan mimpi bukan dalil syarak dan tidak boleh dijadikan bukti untuk menghukum seseorang.
“Yang wajib dinilai ialah ucapan, tindakan dan akhlak yang ditunjukkan dalam kehidupan nyata,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru Hadi memberikan penjelasan tuntas mengenai maksud kenyataannya serta menegaskan secara terbuka bahawa kezaliman tetap salah, sama ada dilakukan oleh orang Islam mahupun bukan Islam.
Beliau juga menggesa pihak berkuasa agama dan pihak berkuasa berkaitan meneliti sebarang kenyataan awam yang berpotensi mencetuskan kebencian antara agama secara adil, berasaskan bukti dan mengikut peruntukan undang-undang.
“Jangan sampai kerana kepentingan politik, kemuliaan Islam dijadikan bahan pertikaian dan keharmonian masyarakat majmuk menjadi pertaruhan.
“Islam tidak memerlukan penghinaan terhadap agama lain untuk membuktikan kemuliaannya. Keindahan Islam terserlah melalui keadilan, amanah, kebijaksanaan dan akhlak mulia,” katanya.
Beliau menegaskan ulama sewajarnya dihormati kerana ilmu dan akhlaknya, manakala pemimpin perlu dinilai berdasarkan amanah serta keadilan yang ditunjukkan.
“Kezaliman tetap kezaliman, siapa pun pelakunya,” katanya.
BACA JUGA PRN Melaka: PH terima keputusan rakyat, prestasi dibawa ke Majlis Presiden untuk dibedah siasat