‘Pusingan kedua’ selepas PRN Melaka, Pas pintas Umno atau Umno ‘tikam’ Pas
Kerjasama antara Pas dan Umno yang membawa kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mungkin berdepan ujian lebih getir.
Kedua-dua parti itu kini memasuki ‘pusingan kedua’ persaingan merebut pengaruh dan undi Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Wartawan veteran, Fathi Aris Omar berpendapat di sebalik persefahaman politik BN-PN, kedua-dua parti sebenarnya mempunyai kepentingan masing-masing untuk menguasai kerusi Parlimen dan kedudukan dalam kerajaan Persekutuan.
Menerusi hantaran di Facebook selepas PRN Melaka, beliau membangkitkan persoalan sama ada Pas mampu memintas penguasaan Umno atau sebaliknya Umno akan mengambil kesempatan untuk mengetepikan Pas apabila kedudukan politiknya kembali kukuh.
“Pusingan kedua, persaingan rebut segmen undi Melayu juga, pertelingkahan Pas dan Umno. Sama ada Pas pintas Umno atau Umno tikam Pas,” katanya.
Percaturan politik
Menurut Fathi, persaingan itu merupakan sebahagian daripada percaturan politik yang lebih besar apabila BN dan PN dilihat mempunyai matlamat bersama untuk melemahkan pengaruh PKR serta AMANAH dalam kalangan pengundi Melayu.
Beliau menyifatkan keadaan tersebut sebagai ‘pusingan pertama’ yang menyaksikan kedua-dua gabungan berusaha menyingkirkan pesaing politik dalam segmen pengundi sama sebelum berdepan sesama sendiri.
Bagaimanapun, Fathi mengingatkan bahawa Umno sebenarnya tidak begitu selesa apabila terpaksa bergantung kepada PN untuk menjayakan kerjasama politik Melayu-Islam, manakala Pas pula tidak boleh memandang ringan strategi politik BN.
“BN sebenarnya tidak selesa terpaksa bergantung pada PN dalam kerjasama Melayu-Islam. Pas pula tidak boleh pandang remeh kelicikan BN,” menurutnya.
Dalam masa sama, beliau mengaitkan percaturan tersebut dengan cita-cita politik Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berpotensi menjadi calon Perdana Menteri ke-11 jika BN-PN terus mengukuhkan kedudukan menjelang PRU16.
Malah, Fathi mengulangi pandangannya yang pernah disiarkan bulan lalu bahawa PRN Melaka merupakan sebahagian daripada percaturan untuk meningkatkan kedudukan Zahid, manakala PRN Johor dikaitkannya dengan agenda membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Tahniah DS Zahid. Perdana menteri ke-11. Jangan gelak dulu, jangan perlekeh lawan,” tulisnya, sambil mengingatkan pembaca supaya tidak memandang ringan kemungkinan politik yang dibangkitkannya.
Fathi turut berpandangan bahawa Pas menyedari kepentingan PRU16 untuk mengekalkan momentum penguasaan undi Melayu dan jumlah kerusi berbanding Umno, kerana kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan parti itu kehilangan pengaruh dalam kerjasama berkenaan.
Beliau juga menganggap slogan penentangan terhadap DAP yang sering dikaitkan dengan kerjasama BN-PN tidak semestinya menggambarkan persaingan sebenar, sebaliknya perebutan pengaruh antara parti yang bergantung kepada sokongan pengundi Melayu mungkin menjadi faktor lebih penting.
Keputusan rasmi PRN Melaka semalam menyaksikan BN memenangi 21 kerusi DUN, PN memperoleh tiga kerusi dan PH empat kerusi, sekali gus memberikan BN-PN penguasaan 24 daripada 28 kerusi.