Ab Rauf angkat sumpah penggal kedua, pembahagian kuasa BN-PN kini jadi tanda tanya

Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh menjadi Ketua Menteri Melaka bagi penggal kedua selepas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 semalam.

Pengerusi BN Melaka itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, dalam istiadat yang berlangsung di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Seri Negeri, hari ini.

Istiadat berkenaan merangkumi pengurniaan surat cara pelantikan, angkat sumpah jawatan, taat setia dan sumpah simpan rahsia sebelum disusuli acara menandatangani surat cara sumpah.

Turut hadir menyaksikan istiadat tersebut ialah Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang sebelum ini mengumumkan pencalonan Ab Rauf untuk meneruskan pentadbiran negeri.

Ab Rauf yang mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara dengan majoriti 8,615 undi kini memulakan penggal baharu dengan mandat besar.

Pelantikan semula Ab Rauf susulan kemenangan BN memperoleh 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PN tiga kerusi dan Pakatan Harapan (PH) empat kerusi.

Walaupun kerjasama BN-PN berjaya menguasai 24 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN, kedudukan BN yang memiliki 21 kerusi sebenarnya sudah mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian tanpa bergantung kepada sokongan PN.

Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai kedudukan tiga wakil rakyat PN dalam pentadbiran baharu, khususnya sama ada mereka akan diberikan jawatan Exco atau peranan lain sebagai rakan kerjasama kerajaan.

BACA JUGA ‘Pusingan kedua’ selepas PRN Melaka, Pas pintas Umno atau Umno ‘tikam’ Pas