WARDA bukan sekadar pelapis, Dzulkefly mahu wanita muda AMANAH jadi pemimpin negara

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Konvensyen WARDA Nasional 2026 disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad Naib Presiden AMANAH. Turut hadir Ketua WARDAH Nasional, Mastura Abu Bakar di Klana Resort Seremban, Negeri Sembilan. (Ahad)

Wanita Muda AMANAH (WARDA) perlu muncul sebagai kelompok kepimpinan yang mampu mencorakkan masa depan parti dan negara, bukan sekadar menjadi pelapis atau penggerak jentera ketika pilihan raya.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penubuhan WARDA sebagai platform khusus wanita muda bertujuan membina kumpulan pemimpin berwibawa yang mampu menggalas tanggungjawab lebih besar pada masa hadapan.

Menurutnya, kepimpinan WARDA tidak seharusnya melihat diri mereka hanya sebagai pewaris kepimpinan, sebaliknya perlu bersedia memainkan peranan penting dalam pembangunan parti dan masyarakat mulai sekarang.

“Kita wujudkan, kita tampilkan dan kita angkat wanita muda sebagai platform khusus untuk memastikan parti AMANAH mempunyai takungan pemimpin yang akan terus bersama-sama membangunkan parti,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen WARDA Nasional 2026 di Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

Dzulkefly yang juga Menteri Kesihatan berkata, pengalaman beberapa pemimpin wanita muda AMANAH yang telah bertanding dalam pilihan raya membuktikan bahawa WARDA mempunyai potensi untuk melahirkan pemimpin di pelbagai peringkat.

Beliau turut menyebut beberapa tokoh wanita muda termasuk Sharon dan Anis yang telah melalui pengalaman politik serta pilihan raya, walaupun belum memperoleh mandat untuk menjadi wakil rakyat.

Menurutnya, kekalahan dalam pilihan raya bukan bermakna berakhirnya perjuangan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada proses membentuk kematangan dan ketahanan seseorang pemimpin. “Bertanding atau tidak bukan segala-galanya dalam politik. Buat kerja dengan segala keikhlasan dan kejujuran, kepimpinan akan melihat segala tindakan kamu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu WARDA memberikan penekanan kepada pembentukan pemimpin yang mempunyai kemahiran mendengar, memahami masalah rakyat dan berkomunikasi secara berkesan. Katanya, pemimpin yang baik bukan sekadar mampu menyampaikan pidato, tetapi perlu turun ke lapangan, mendengar suara masyarakat dan bertindak secara responsif serta inklusif.

Dzulkefly turut menggesa anggota WARDA meningkatkan penguasaan ilmu khususnya berkaitan dasar awam, politik, ekonomi, kesihatan dan teknologi supaya mereka bersedia memikul tanggungjawab pentadbiran pada masa hadapan. Beliau berkata, penguasaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), sains data dan kemahiran pengucapan awam perlu menjadi sebahagian daripada latihan kepimpinan wanita muda.

Dzulkefly turut menggesa anggota WARDA meningkatkan penguasaan ilmu khususnya berkaitan dasar awam, politik, ekonomi, kesihatan dan teknologi supaya mereka bersedia memikul tanggungjawab pentadbiran pada masa hadapan.
Beliau berkata, penguasaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), sains data dan kemahiran pengucapan awam perlu menjadi sebahagian daripada latihan kepimpinan wanita muda.

“Saya mahu kamu semua terus belajar, meningkatkan penguasaan ilmu dan mempunyai kemampuan intelektual yang tinggi kerana suatu hari nanti mungkin ada antara kamu yang akan memimpin sebuah kementerian,” katanya. Dalam pada itu, Dzulkefly mengingatkan bahawa perjuangan WARDA tidak boleh terbatas kepada usaha memenangi pilihan raya semata-mata, sebaliknya perlu berteraskan cita-cita membina negara bangsa yang adil dan menghormati kepelbagaian masyarakat.

Beliau turut mengingatkan anggota WARDA supaya memahami cabaran politik kebencian dan permusuhan berasaskan kaum serta agama yang menurutnya boleh menjejaskan usaha membina perpaduan nasional. Katanya, pemimpin muda perlu mempunyai kefahaman politik yang matang agar tidak terperangkap dalam pemikiran ketaksuban kelompok sehingga mengabaikan prinsip keadilan dan kemanusiaan.

Mengulas kekalahan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beliau menyeru anggota WARDA supaya tidak mudah berputus asa kerana perjuangan politik menuntut kesabaran dan kesediaan menghadapi pelbagai cabaran. “Kita telah kalah dalam pertempuran, tetapi pastikan kita memenangi peperangan dalam PRU16,” katanya sambil mengingatkan bahawa kemenangan dan kekalahan merupakan sebahagian daripada perjalanan politik. Pada majlis sama, Dzulkefly mengumumkan sumbangan RM10,000 bagi menjayakan Konvensyen WARDA Nasional 2026.

Mengakhiri ucapannya, beliau mengingatkan bahawa keikhlasan perjuangan seseorang tidak diukur melalui kemenangan atau kedudukan politik, sebaliknya melalui kesetiaan terhadap prinsip dan kesanggupan terus berkhidmat ketika menghadapi cabaran. “Buat kerja dengan segala keikhlasan, kejujuran. Ukuran yang sebenarnya ialah tindakan, bukan hanya retorik atau kata-kata,” katanya.

Semenatar itu, Ketua WARDAH Nasional, Mastura Abu Bakar membangkitkan keadaan itu ketika mencadangkan sekurang-kurangnya 30 peratus jawatan kepimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) di semua peringkat diperuntukkan kepada wanita. Menurutnya, wanita tidak seharusnya hanya menjadi penggerak jentera pilihan raya, sebaliknya perlu diberikan ruang lebih besar untuk menentukan hala tuju parti dan pentadbiran negara.

“Kita ada ilmu, kita ada kelayakan, kita ada kemahiran dalam pekerjaan, tetapi apabila tiba di peringkat pembuatan keputusan di syarikat, sektor awam atau Parlimen, bilangan kita semakin mengecil,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pidato pada Konvensyen WARDAH Nasional 2026 di Klana Resort, Seremban, yang dirasmikan Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Mastura berkata, berdasarkan angka yang dibentangkannya, hanya 30 daripada 222 Ahli Dewan Rakyat merupakan wanita, bersamaan kira-kira 13.5 peratus, berbanding 33 orang pada 2018. Justeru, beliau mencadangkan AMANAH memulakan langkah afirmatif dengan memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus jawatankuasa kepimpinan di peringkat kawasan, negeri dan nasional terdiri daripada wanita.

Katanya, pendekatan itu kemudiannya boleh diperluaskan kepada proses pemilihan calon pilihan raya bagi membuka lebih banyak peluang kepada wanita muda menjadi wakil rakyat. Mastura turut mengakui WARDAH masih belum berjaya melahirkan wakil rakyat sendiri meskipun telah melalui beberapa pilihan raya, namun pengalaman tersebut menjadi asas penting membina kepimpinan baharu.

Beliau berkata, WARDAH yang kini mempunyai jaringan di 50 kawasan dan tujuh negeri perlu memperkukuh kerjasama dengan sayap anak muda Pakatan Harapan (PH) serta memperluaskan program bimbingan kepimpinan. “Apabila WARDAH diberikan akses sebegitu, kita bukan sahaja bersedia untuk bertanding, tetapi juga bersedia untuk bersama-sama mentadbir Malaysia,” katanya.

Beliau menegaskan, wanita muda bukan sekadar mahu diberikan peluang bertanding, tetapi turut bersedia menyumbang kepakaran dalam pembentukan dasar dan pentadbiran negara.