Setelah 4 bulan akhirnya Prabowo minta maaf jerebu dah jejaskan Malaysia, Singapura

Selepas hampir empat bulan kebakaran hutan berlarutan di Indonesia hingga menyebabkan jerebu merentasi sempadan, Presiden Prabowo Subianto akhirnya menyampaikan permohonan maaf kepada Malaysia dan Singapura.

Prabowo menyampaikan permohonan maaf ketika berucap pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina, semalam, sambil memberi jaminan bahawa pelbagai usaha sudah digerakkan bagi menangani kebakaran hutan dan tanah.

Menerusi kenyataan Biro Akhbar, Media dan Maklumat Sekretariat Presiden Indonesia, kerajaan negara itu menegaskan pendirian untuk tidak berkompromi dengan syarikat yang terbabit dalam kebakaran hutan dan tanah

Bagaimanapun, kebakaran yang berlarutan hampir empat bulan itu telah menyebabkan jerebu merentasi sempadan sehingga menjejaskan komuniti di Malaysia dan Singapura.

“Kerajaan Indonesia mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap syarikat yang terbabit dalam kebakaran hutan dan tanah, selain mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk pembatalan konsesi serta prosiding undang-undang.

“Kita sudah membatalkan 17 konsesi syarikat. Sebanyak 26 syarikat sedang disiasat dan 11 sudah didakwa. Sebanyak 23 lagi syarikat dijadualkan didakwa, manakala keseluruhannya 104 syarikat sedang disiasat pasukan polis,” katanya.

Indonesia turut menggerakkan 71,000 anggota bagi operasi memadam kebakaran hutan, dengan 16 anggota dilaporkan terkorban manakala ramai lagi cedera.

Prabowo turut mengakui pendekatan sedia ada dalam menangani isu berkenaan perlu ditambah baik.

Antara langkah yang perlu diberi penekanan ialah usaha pencegahan kebakaran hutan secara lebih agresif, berbanding pendekatan sebelum ini yang lebih tertumpu kepada operasi pemadaman dan mitigasi.

Susulan itu, sebuah agensi baharu akan ditubuhkan bagi melaksanakan pelbagai program untuk memperkukuh usaha pencegahan kebakaran hutan dan tanah di negara itu pada masa hadapan.