RM10 juta sudah dibelanjakan, Sanusi kata litar tak mustahak, sindir suruh beli motor

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui Projek Litar Lumba Sungai Petani bukanlah sesuatu yang terlalu penting meskipun RM10 juta wang awam sudah dibelanjakan.

Sanusi bahkan menyindir wakil rakyat pembangkang yang mempersoalkan kelewatan projek yang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman daripada DAP, Teh Swee Leong pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.

Teh sebelum itu meminta penjelasan mengenai kronologi pelaksanaan, kemajuan fizikal serta jumlah dana yang telah dibelanjakan bagi projek litar lumba tersebut yang pernah terhenti selama kira-kira dua tahun.

Bagaimanapun, Sanusi dalam jawapannya sempat menyindir ahli politik pembangkang yang menurutnya terlalu sibuk mempersoalkan projek tersebut sedangkan mereka sendiri tidak mempunyai motosikal.

“Maka ceplos-ceplos di luar, ahli-ahli politik pembangkang yang tiada motor ini sibuk dok tanya, kacau… seolah-olah depa betul mat rempit.

“Jadi, yang sibuk-sibuk ni, beli motor dulu. Bila siap tu boleh terus ‘race’,” katanya sambil ketawa seketika.

Sanusi yang juga ADUN Jeneri kemudian meminta pihak pembangkang menghentikan kritikan jika tidak benar-benar berminat dengan aktiviti perlumbaan motosikal, sebaliknya hanya mahu mengenakan kerajaan negeri.

“Kalau tak minat saja nak pekena orang, berhentilah sebab kita sedang ikut peraturan yang betul,” katanya.

Diberikan masa

Pemimpin Pas itu turut meminta kerajaan negeri diberikan masa untuk menyelesaikan perkara berkaitan projek berkenaan yang kini dirancang diteruskan menerusi kaedah pembiayaan swasta atau Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

“Bagi masa kepada kerajaan untuk selesaikan perkara ini. Insya-Allah akan siap tapi PFI lah. Kena bayar sikit kot, masuk kena bayarlah pasal swasta,” ujarnya.

Namun, kenyataan yang paling mencuri perhatian ialah apabila Sanusi sendiri menganggap pembinaan litar lumba itu bukan sesuatu yang begitu mustahak, tetapi perlu diteruskan kerana wang awam telah dibelanjakan.

“Track tu bukan penting sangat pun, tak mustahak. Tapi dah dibelanjakan RM10 juta,” katanya.

Beliau menjelaskan, projek berkenaan perlu diteruskan bagi mengelakkan perbelanjaan terdahulu menjadi pembaziran, selain memastikan pelaksanaannya mematuhi prinsip tadbir urus yang betul.

Untuk rekod, RM10 juta tersebut dibelanjakan oleh pentadbiran terdahulu antara 2017 hingga 2019 bagi kerja pembersihan tapak, penyediaan tanah dan pembinaan jalan masuk, daripada keseluruhan peruntukan asal RM30 juta yang disediakan Kerajaan Persekutuan.

Projek itu kemudiannya mengalami pemberhentian kerja dari Ogos 2023 hingga Ogos 2025 susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebelum pelaksanaannya disambung semula menggunakan pembiayaan swasta.

Menurut Sanusi, kemajuan fizikal fasa awal kini mencapai 78 peratus, manakala keseluruhan pembangunan dianggarkan menelan belanja RM46 juta dengan fasa awal dijangka siap pada Jun 2027.

BACA JUGA ‘Derhakakah patik berkata benar?’, Hassan dipanggil polis isu sajak “Patik Tak Rela”