Dari Kedah hingga Johor, waspada amaran ribut petir dan hujan lebat hingga malam ini
Penduduk di beberapa kawasan dari Kedah hingga Johor dinasihatkan berwaspada susulan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku sehingga jam 9 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan yang dikeluarkan pada jam 5.40 petang tadi memaklumkan, amaran cuaca buruk itu melibatkan kawasan tertentu di 10 negeri serta tiga Wilayah Persekutuan.
Antara kawasan yang terlibat ialah seluruh Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya.
Di Kedah, amaran dikeluarkan bagi daerah Bandar Baharu dan Kulim, manakala di Perak membabitkan Bagan Datuk, Hilir Perak, Perak Tengah, Manjung, Kerian serta Larut Matang dan Selama.

Bagi Pahang pula, kawasan yang dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat ialah Temerloh, Bera, Pulau Tioman dan Bentong.
Di Johor, sembilan daerah turut berada dalam kawasan amaran, iaitu Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kluang, Kulai, Johor Bahru, Kota Tinggi dan Mersing.
Amaran sama
Sementara itu, amaran sama turut dikeluarkan bagi beberapa kawasan di Sarawak, termasuk Miri, Samarahan, Gedong, Sibu, Song, Serian, Limbang, Dalat, Matu, Julau, Pakan dan Kuching.
Di Sabah, kawasan yang terlibat ialah Tawau, Kunak dan Kalabakan, manakala Wilayah Persekutuan Labuan turut termasuk dalam amaran berkenaan.
Menurut METMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi satu jam.
Amaran tersebut merupakan amaran jangka pendek yang sah bagi tempoh tidak melebihi enam jam untuk setiap keluaran, bergantung kepada perkembangan keadaan cuaca semasa.
Sehubungan itu, orang ramai terutama yang tinggal di kawasan rendah, berhampiran sungai atau kawasan mudah dinaiki air disarankan meningkatkan kewaspadaan terhadap kemungkinan banjir kilat sekiranya hujan lebat berterusan.
Pengguna jalan raya juga dinasihatkan memandu dengan lebih berhati-hati ketika hujan lebat kerana jarak penglihatan mungkin berkurangan, selain mengelakkan kawasan yang mempunyai risiko pokok tumbang akibat angin kencang.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan perkembangan amaran cuaca terkini melalui laman rasmi METMalaysia serta aplikasi myCuaca memandangkan keadaan cuaca boleh berubah dalam tempoh singkat.
BACA JUGA ‘Derhakakah patik berkata benar?’, Hassan dipanggil polis isu sajak “Patik Tak Rela”