Tujuh bulan Negeri Sembilan terus bergolak, Ismail yang pernah nafi akhirnya letak jawatan MB
Selepas hampir tujuh bulan Negeri Sembilan dibelenggu krisis adat dan istana, Datuk Ismail Lasim akhirnya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar berkuat kuasa hari ini, meskipun sebelum ini pernah menafikan dakwaan beliau akan berundur.
Keputusan itu sekali gus menamatkan tempoh singkat pentadbirannya yang bermula pada 2 Ogos lalu, ketika kemelut melibatkan institusi adat, istana dan pentadbiran kerajaan negeri masih belum menemui penyelesaian menyeluruh.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan perkembangan tersebut menerusi kenyataan hari ini selepas Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Menurut Zambry, BN akan mengemukakan cadangan calon Menteri Besar baharu untuk dipersembahkan kepada Tuanku Muhriz selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Pengerusi Barisan Nasional akan mengemukakan cadangan calon Menteri Besar yang baharu untuk dipersembahkan ke hadapan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata, BN berharap keputusan tersebut membuka lembaran baharu bagi memulihkan kestabilan politik dan memastikan pentadbiran Negeri Sembilan kembali berfungsi dengan lancar.
BN juga memberikan komitmen untuk bekerjasama memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan secara teratur dengan mengambil kira kedudukan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta perkenan Tuanku Muhriz.
Mainan politik
Peletakan jawatan Ismail menarik perhatian kerana pada 23 Oktober lalu, beliau secara terbuka menafikan dakwaan bahawa dirinya akan berundur susulan krisis adat dan istana yang berlarutan di negeri itu.
“Mainan politik saja tu… tak betul. Saya tak letak jawatan,” katanya ketika mengulas laporan sebuah portal berbahasa Cina yang mendakwa beliau sudah menandatangani surat peletakan jawatan.
Ketika itu, Ismail yang juga ADUN Juasseh menyifatkan khabar angin mengenai kedudukannya sebagai Menteri Besar sebagai permainan politik pihak tertentu semata-mata.
Malah, pada 6 November lalu, beliau sekali lagi menegaskan masih memegang jawatan Menteri Besar ketika diminta mengulas dakwaan bahawa ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias bakal menggantikannya.
“Itu saya tak tahu. Setakat ini, saya yang Menteri Besar,” katanya kepada pemberita ketika itu.
Namun, hanya 10 hari selepas kenyataan itu, Ismail akhirnya mengambil keputusan melepaskan jawatan yang disandangnya selama kira-kira tiga bulan setengah.
Krisis adat dan istana Negeri Sembilan mula tercetus secara terbuka pada April lalu susulan pertikaian mengenai kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar, sebelum berkembang menjadi kemelut politik dan pentadbiran negeri.
Semakin meruncing
Kemelut semakin meruncing apabila Ismail bersama anggota pentadbirannya dikaitkan dengan surat bertarikh 17 September yang menyokong pengisytiharan penyingkiran Tuanku Muhriz, sebelum pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dibatalkan oleh baginda.
Keadaan itu menyebabkan pentadbiran negeri berdepan kesukaran untuk berfungsi seperti biasa, termasuk persoalan mengenai pelantikan Exco baharu dan keperluan mendapatkan perkenan bagi mengadakan persidangan DUN serta membentangkan belanjawan negeri.
Pada 14 November lalu, Ismail mengesahkan bahawa beliau bersama 10 bekas Exco telah menarik balik kandungan surat terdahulu berhubung kedudukan Tuanku Muhriz menerusi surat baharu bertarikh 10 November.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai antara usaha untuk menyelesaikan krisis adat dan pentadbiran yang sudah berlarutan selama beberapa bulan.
Bagaimanapun, belum sampai tiga hari selepas pengesahan penarikan balik surat itu, perkembangan politik negeri menyaksikan Ismail sendiri mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.
Perkembangan terbaharu itu turut membuka persoalan mengenai kedudukan 10 bekas Exco, pembentukan barisan pentadbiran baharu serta sejauh mana pertukaran Menteri Besar mampu menyelesaikan pertikaian yang berpanjangan.
BACA JUGA Pantun ‘kencing’ malukan diri sendiri, MP PH tegur Ahmad Maslan berpantun sokong BN–PN