‘Suara kami tak didengar, menyesal aku mengundi!’, penduduk Batu Pahat kecewa jalan kampung hancur

“Menyesal aku mengundi!” Demikian luahan kecewa seorang penduduk Kampung Baru, Batu Pahat, Johor yang mendakwa jalan kampungnya semakin rosak akibat pergerakan lori berat.

Padahal, kata pemuda berkenaan, sudah banyak aduan dibuat kepada pelbagai pihak tetapi masih belum membuahkan penyelesaian.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, lelaki itu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keadaan jalan, tebing, longkang dan parit yang didakwanya mengalami kerosakan teruk.

Lebih mengecewakan, katanya, ketika kempen pilihan raya dahulu, isu kononnya DAP mahu merampas Batu Pahat dan Senggarang menjadi antara bahan yang dimainkan pihak Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk meraih sokongan pengundi.

“Sebelum nak mengundi, bukan main lagi, katanya DAP nak rampas Batu Pahat, nak rampas Senggarang.

“Apabila dah menang, lupa dah, pejam mata, tutup telinga,” katanya dalam rakaman berkenaan.

Aduan

Menurut penduduk tempatan itu, masalah kerosakan jalan di kampung beliau bukan perkara baharu, malah sudah beberapa kali dibangkitkan kepada pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan penghulu.

“Aduan dah buat, korang tengok, jalan Kampung Baru semuanya hancur kerana lori besar.

“Aduan dah buat daripada Majlis Perbandaran, DUN pun dah beritahu, penghulu pun dah beritahu, mesyuarat pun sudah,” katanya.

Beliau turut mendakwa cadangan memasang palang bagi mengawal kemasukan lori berat pernah dibincangkan, namun sehingga kini masalah tersebut masih belum diselesaikan.

Katanya, penduduk yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari terpaksa berdepan keadaan jalan yang semakin membimbangkan, termasuk kerosakan pada sistem perparitan dan tebing jalan.

“Tebing, longkang, parit dah habis pecah, belah dalam sana,” katanya sambil meminta orang ramai yang mengetahui lokasi Kampung Baru Laut datang sendiri melihat keadaan jalan tersebut.

Peruntukan berbilion

Aduan penduduk itu turut mengundang persoalan mengenai keberkesanan penyelenggaraan infrastruktur luar bandar ketika Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerima peruntukan RM12.4 bilion dalam Belanjawan 2026.

Daripada jumlah tersebut, kerajaan menyediakan peruntukan bagi pelbagai projek prasarana asas desa, termasuk pembinaan, pembaikan dan menaik taraf jalan kampung untuk meningkatkan kemudahan serta keselamatan penduduk luar bandar.

Malah, Kementerian Kewangan pada awal November memaklumkan peruntukan jalan luar bandar bagi 2026 telah ditingkatkan kepada kira-kira RM3.1 bilion, sekali gus memperlihatkan besarnya dana yang disediakan untuk pembangunan rangkaian jalan luar bandar.

Bagi penduduk terbabit, perkara yang lebih penting ialah tindakan segera daripada pihak bertanggungjawab supaya kerosakan jalan tidak terus berlarutan tanpa penyelesaian.

Beliau turut menyindir janji ketika kempen pilihan raya yang menurutnya tidak seindah keadaan sebenar selepas kemenangan diperoleh.

“Masa berkempen dulu bukan main lagi. Indah khabar dari rupa,” tempelaknya.

Dalam nada kecewa, beliau turut mempersoalkan sama ada pihak yang menerima aduan benar-benar menjalankan tanggungjawab mereka terhadap masalah penduduk kampung.

“Tak tahu diorang buat kerja ke, diorang tidur. Sebab tu dah menang, dah mula lupa. Menyesal aku mengundi!” katanya lagi.

BACA JUGA Dari Manila pulang sambut Macron, terbang semula ke ASEAN, tengah malam Anwar sudah tiba di China