Nelayan Sedili terima projek hampir RM1 juta, LKIM mahu mereka keluar dari kepompong kemiskinan

Nelayan di Sedili, Kota Tinggi, Johor menerima manfaat projek pemasaran ikan dan penternakan udang bernilai keseluruhan RM975,000.

Projek yang dilaksanakan menerusi kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sedili itu bertujuan meningkatkan pendapatan serta membebaskan golongan nelayan daripada kepompong kemiskinan.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, projek itu merangkumi penyerahan sebuah lori MOFIT (Mobile Fish Truck) bernilai RM225,000 serta pelaksanaan projek Ternakan Udang Dalam Tangki (TUDT) dengan kos keseluruhan RM750,000.

Beliau berkata, lori MOFIT itu diserahkan kepada PNK Sedili dalam satu program di Kompleks Perikanan LKIM Sedili semalam bagi memperkukuh aktiviti pemasaran hasil perikanan yang diusahakan persatuan berkenaan.

Selain penyerahan lori, nelayan yang menghadiri program tersebut turut menerima sumbangan bakul makanan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup mereka.

Ternakan udang

Faiz berkata, LKIM turut memperuntukkan RM500,000 bagi menjayakan projek ternakan udang di atas tanah seluas 4.9 ekar, manakala PNK Sedili menyediakan tambahan RM250,000 daripada sumber kewangan dalamannya sendiri.

Katanya, peruntukan tersebut digunakan bagi pembinaan infrastruktur, pejabat, enam tangki ternakan dan dua tangki takungan air atau reservoir, selain pembelian benih serta makanan udang.

Bagi pusingan pertama, projek akuakultur itu melibatkan sebanyak 750,000 benih udang putih spesies vannamei yang akan diternak sebagai sebahagian daripada usaha mempelbagaikan sumber pendapatan nelayan.

Menurut Faiz, LKIM memberikan sokongan penuh kepada persatuan nelayan yang mahu menceburi sektor akuakultur selaras dengan sasaran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk mencapai 40 peratus pengeluaran ikan daripada sektor berkenaan menjelang 2030.

Jelasnya, usaha memperkukuh sektor akuakultur amat penting dalam memastikan kecukupan bekalan makanan negara, khususnya ketika sumber perikanan laut semakin berkurangan.

“Bagi LKIM, setiap nilai rantaian bekalan ikan termasuk bidang tangkapan, akuakultur dan pemasaran ikan ini perlu dikuasai persatuan nelayan,” katanya menerusi kenyataan mengenai program berkenaan.

Faiz menjelaskan bahawa usaha tersebut dilaksanakan menerusi Hala Tuju Reformasi LKIM 4P, iaitu Pulih, Progres, Perkasa dan Pintar, selain pengenalan agenda Satu Persatuan Satu Produk (1P1P) bagi memperkukuh kegiatan ekonomi persatuan nelayan.

Beliau berharap inisiatif berkenaan dapat mengubah kedudukan sosioekonomi nelayan, khususnya masyarakat Melayu, supaya persatuan nelayan mampu menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi dan ahlinya tidak lagi terperangkap dalam kemiskinan.

Sehubungan itu, Faiz berkata, Bahagian Industri Asas Tani (IAT) LKIM turut mengambil inisiatif mengadakan bengkel penyediaan Manual Ternakan Ikan dan Udang Dalam Tangki bersama pengurus besar persatuan nelayan serta pemain industri swasta.

Inisiatif itu bertujuan memperluas penglibatan nelayan dalam sektor akuakultur dan memastikan bekalan ikan negara terus mencukupi.

BACA JUGA ‘Suara kami tak didengar, menyesal aku mengundi!’, penduduk Batu Pahat kecewa jalan kampung hancur