Anwar mahu AI jadi jambatan Asia, bukan senjata persaingan kuasa besar 

Persaingan kuasa besar yang semakin sengit tidak seharusnya menutup ruang kerjasama negara-negara Asia Pasifik, sebaliknya rantau ini perlu mempertahankan keterbukaan ekonomi, hak menentukan haluan pembangunan dan peluang pertumbuhan yang lebih adil.

Mesej itu disampaikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika berucap pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2026, dengan menggariskan gagasan keterbukaan ekonomi yang saksama untuk Asia Pasifik ketika dunia berdepan persaingan geopolitik yang semakin ketara.

“Dalam suasana persaingan kuasa besar yang kian sengit, kita mesti mempertahankan ruang kerjasama dan hak setiap negara untuk menentukan haluan pembangunannya,” katanya.

Anwar menegaskan keterbukaan ekonomi tidak seharusnya hanya menguntungkan negara yang sudah maju, sebaliknya perlu memberi ruang kepada ekonomi membangun memperkukuh kemandirian, membina keupayaan inovasi dan menyertai industri bernilai tinggi.

Beliau mahu manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih saksama, dengan peluang pembangunan tidak hanya tertumpu kepada negara atau kelompok ekonomi tertentu, tetapi turut membuka ruang kepada negara membangun untuk meningkatkan kedudukan dalam rantaian ekonomi global.

Dalam ucapannya, Anwar turut menggesa China dan negara-negara Asia Tenggara memperluas kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) serta transformasi digital menerusi penyelidikan dan inovasi bersama.

Kerjasama itu dilihat penting bagi membolehkan negara-negara rantau ini memanfaatkan perkembangan teknologi, membina kepakaran dan meningkatkan daya saing, ketika AI serta ekonomi digital semakin menjadi penentu kepada landskap ekonomi masa depan.

Bagaimanapun, kemajuan teknologi tidak boleh hanya dinilai berdasarkan kepantasan inovasi atau keupayaan menguasai pasaran, sebaliknya perlu mengambil kira nilai kemanusiaan dan tanggungjawab dalam penggunaannya.

“Kemajuan teknologi mesti terus berpaksikan etika, kebertanggungjawaban dan maruah insan,” katanya.

Malaysia, katanya, akan terus membina hubungan konstruktif dengan semua rakan berpandukan Wawasan Putrajaya 2040, bagi menyumbang kepada pembentukan rantau Asia Pasifik yang terbuka, berdaya tahan dan aman.

Pendirian itu mencerminkan pendekatan Malaysia untuk terus memperluas kerjasama antarabangsa tanpa mengorbankan ruang pembangunan negara, selain memastikan hubungan serantau dibina atas kepentingan bersama dan saling menghormati.

Anwar turut mengingatkan bahawa pencapaian ekonomi dan kemajuan teknologi bukan satu-satunya ukuran kejayaan sesebuah negara, sebaliknya kesan kemajuan itu terhadap kehidupan rakyat perlu menjadi penanda aras utama.

“Ukuran sebenar kemajuan ialah peluang yang terbuka dan perubahan yang dirasai dalam kehidupan rakyat,” katanya.

BACA JUGA ARTIKEL │Makanan adalah kedaulatan negara : Kita perlu berubah daripada negara pengimport