Harga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun, BUDI MADANI terus lindungi rakyat

Harga runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing mencatatkan penurunan bagi tempoh 19 hingga 25 November ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga RON97 turun sebanyak 20 sen seliter kepada RM4.00 berbanding RM4.20 sebelum ini.

Harga RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi pula masing-masing turun 15 sen seliter kepada RM3.72 dan RM4.72 berbanding RM3.87 dan RM4.87 sebelum ini.

Dalam kenyataan pada semalam, MOF memaklumkan penurunan itu berlaku seiring dengan penyederhanaan harga minyak mentah dunia sepanjang tempoh pengiraan APM.

“Perkembangan ini mencerminkan tekanan harga yang semakin berkurangan dalam pasaran petroleum antarabangsa,” menurut kenyataan MOF.

Bagaimanapun, kementerian itu menjelaskan bahawa bekalan produk petroleum bertapis masih berdepan beberapa kekangan yang boleh mempengaruhi kestabilan harga pasaran.

“Ketidaktentuan geopolitik dan risiko gangguan penghantaran petroleum masih boleh menjejaskan bekalan global. Sehubungan itu, harga petroleum dunia dijangka terus mengalami turun naik dalam tempoh terdekat,” ujarnya.

Pada masa sama, kerajaan meneruskan pemberian subsidi bahan api melalui inisiatif BUDI MADANI bagi membantu rakyat yang layak menghadapi kos bahan api.

Penerima BUDI95 terus menikmati harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter, berbanding harga tanpa subsidi RM3.72 seliter, dengan kerajaan menanggung subsidi RM1.73 bagi setiap liter.

Bagi penerima BUDI Diesel pula, harga diesel dikekalkan pada RM2.10 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM4.72 seliter. Ini bersamaan subsidi RM2.62 bagi setiap liter yang ditanggung kerajaan.

MOF turut memaklumkan peruntukan hampir RM40 bilion disediakan untuk subsidi bahan api pada tahun hadapan bagi membantu rakyat mengurangkan tekanan kos sara hidup.

“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” menurut MOF.