Mat Sabu terima kunjungan Duta Besar Indonesia, perkukuh kerjasama pertanian

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Raden Dato’ Mohammad Iman Hascarya, pada 17 November lalu bagi membincangkan kerjasama dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

Pertemuan itu menjadi platform bagi kedua-dua pihak membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala, termasuk memudahkan urusan import dan eksport bagi meningkatkan perdagangan antara Malaysia dan Indonesia.

Dalam pertemuan itu, Mohamad turut menyuarakan sokongan Malaysia terhadap usaha memudah cara perdagangan kedua-dua negara, termasuk di kawasan sempadan.

Kerjasama berkenaan penting bagi memastikan kelancaran dan kemampanan rantaian bekalan makanan kedua-dua negara, khususnya ketika berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Kedua-dua pihak turut menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan kerjasama yang telah terjalin sekian lama, khususnya dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

Berdasarkan statistik, perdagangan pertanian dua hala Malaysia dan Indonesia mencatatkan peningkatan sebanyak 16 peratus pada 2025 kepada RM20.95 bilion berbanding RM18.06 bilion pada 2024.

Nilai perdagangan itu bersamaan AS$5.12 bilion pada 2025 berbanding AS$4.41 bilion pada tahun sebelumnya.

Kerjasama berkenaan diharap dapat membuka lebih banyak peluang perdagangan serta memberikan manfaat bersama kepada Malaysia dan Indonesia.