Anwar terima permohonan maaf Ahmad Maslan, tegur jangan bawa politik ke urusan rasmi kerajaan

Permohonan maaf Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung penggunaan perkataan tidak sesuai dalam pantun ketika sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Rakyat diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi kenyataan yang dilaporkan Bernama, Anwar bagaimanapun mengingatkan supaya adab dan disiplin dalam urusan rasmi kerajaan sentiasa dipelihara, meskipun suasana politik negara semakin panas.

Anwar berkata beliau memahami tekanan politik yang meningkat, khususnya ketika musim pilihan raya negeri yang boleh menyebabkan seseorang terlanjur kata ketika berkempen.

Namun, beliau menegaskan perkara sedemikian tidak sepatutnya dibawa masuk ke dalam urusan rasmi kerajaan.

Dalam perkembangan sama, Anwar memberi amaran lebih tegas bahawa anggota pentadbiran yang melanggar peraturan serta adab berjemaah dalam urusan rasmi kerajaan selepas ini sewajarnya meletakkan jawatan atau dinasihatkan berbuat demikian.

Menurut Perdana Menteri, perbezaan pandangan dalam kalangan anggota Kabinet bukan sesuatu yang luar biasa, namun teguran dan ketidakpuasan hati perlu disalurkan melalui saluran dalaman, bukannya dibangkitkan secara terbuka ketika urusan rasmi di Parlimen.

Beliau berkata ruang untuk menyuarakan pandangan secara terbuka tetap diberikan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, justeru setiap anggota pentadbiran perlu menghormati disiplin dan tanggungjawab sebagai wakil kerajaan.

Anwar turut memaklumkan Ahmad sudah mengutus surat rasmi bagi memohon maaf berhubung kontroversi berkenaan dan permohonan itu diterima dengan peringatan supaya perkara sama tidak berulang.

Perdana Menteri juga merakamkan penghargaan kepada Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kerana mengambil berat soal adab berjemaah dan memastikan disiplin dalam sistem kerajaan terus dihormati.

Kontroversi itu tercetus pada 16 November lalu ketika Ahmad menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat.

Ketika menjawab persoalan mengenai pengurangan dan penghapusan tol, Ahli Parlimen Pontian itu menyampaikan pantun yang menggunakan perkataan ‘kencing’ dalam sindiran berkaitan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Perkataan itu kemudian diarahkan ditarik balik selepas dibantah Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, manakala beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) turut menggesa Ahmad meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya.

Menerusi surat bertarikh 17 November, Ahmad mengakui pemilihan kata tersebut tidak sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai anggota pentadbiran kerajaan. Beliau turut menegaskan tidak berniat menjejaskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dan akan terus menyokong kepimpinan Anwar sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.

BACA JUGA ‘Takkan semua salah DAP?’, Pengerusi DAP Negeri Sembilan persoal tuduhan BN Comms Rembau