Tuanku Muhriz mahu Ismail kekal sebagai MB, surat BN jadi tanda tanya

Kemelut politik Negeri Sembilan memasuki episod baharu apabila Menteri Besar, Datuk Seri Ismail Lasim mengesahkan beliau dititahkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir supaya meneruskan tugas bagi memastikan kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri.

Lebih menarik, Ismail turut menafikan beliau pernah mengemukakan surat peletakan jawatan bertarikh 16 November lalu atau memberikan persetujuan supaya surat berkenaan diserahkan kepada pihak istana.

“Saya ingin menjelaskan berhubung laporan mengenai surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang bertarikh 16 Nov lepas, saya tidak ada mengemukakan mahupun memberikan persetujuan untuk surat tersebut dikemukakan kepada Tuanku Muhriz,” katanya kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar di Seremban hari ini.

Menurut laporan Bernama, Ismail berkata beliau komited untuk terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi.

Perkembangan itu sekali gus menimbulkan persoalan baharu mengenai kedudukan surat peletakan jawatan yang sebelum ini diumumkan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Zambry Abd Kadir pada 16 November lalu.

Zambry sebelum ini memaklumkan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail yang ditujukan kepada Tuanku Muhriz, selain menyatakan cadangan calon pengganti akan dikemukakan kepada baginda.

Bagaimanapun, laporan media pada 17 November memetik sumber yang menafikan Ismail meletak jawatan atau menyerahkan surat berkenaan kepada istana.

Pada hari sama, Istana Negeri Sembilan memaklumkan kesahihan surat tersebut masih belum dapat disahkan, sambil menegaskan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Ismail sebelum ini turut menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap pada 17 November, manakala laporan New Straits Times pada 18 November menyebut baginda menitahkan beliau meneruskan tugas seperti biasa berdasarkan hasil pertemuan tersebut.

Dalam perkembangan hari ini, Ismail, 67, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Juasseh tiba di Istana Hinggap, Seremban kira-kira 10.17 pagi untuk menghadap baginda susulan kemelut pentadbiran negeri.

Baginda berangkat tiba kira-kira 9.30 pagi, diikuti tiga pembesar adat Negeri Sembilan iaitu Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid; Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari; dan Undang Luak Jelebu, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Azrin Khairi.

Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos lalu selepas BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi dalam Pilihan Raya Negeri ke-16.

Gabungan kedua-dua parti itu membolehkan kerajaan negeri dibentuk dengan majoriti dua pertiga.

Keputusan Tuanku Muhriz supaya Ismail meneruskan tugas memberikan isyarat jelas bahawa kesinambungan pentadbiran negeri perlu diutamakan ketika polemik mengenai surat peletakan jawatan masih menjadi perhatian.

Namun, persoalan mengenai bagaimana surat berkenaan boleh dikemukakan dan siapa yang mempunyai kuasa atau mandat untuk menguruskannya masih menjadi perkara yang memerlukan penjelasan.

Buat masa ini, Ismail kekal menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar berdasarkan titah Tuanku Muhriz, sekali gus menamatkan sementara spekulasi mengenai penggantian kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan.

BACA JUGA Zahid tak percaya Pas? Umno mahu kekal dominan?