Pemuda DAP pertegas penderma RM50 juta untuk Najib pun berhak tahu minit pengampunan
Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menegaskan bahawa penyokong dan penderma Tabung Solidariti Najib Razak yang berjaya mengumpul RM50 juta turut berhak mengetahui kandungan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung keputusan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu.
Setiausaha DAPSY Kebangsaan, Louis Lim Chun Weng dan Naib Ketua DAPSY Kebangsaan, Raja Ahmad Iskandar Fareez berkata, penyokong Najib patut menjadi pihak pertama yang menggalakkan supaya minit mesyuarat berkenaan didedahkan kepada orang awam.
Mereka menegaskan bahawa langkah itu penting bagi memastikan proses pemberian pengampunan dan belas kasihan dilaksanakan secara telus serta dapat diketahui masyarakat.
“Penyokong dan penderma Tabung Solidariti Najib Razak, yang dilaporkan mengumpul RM50 juta, sepatutnya menjadi pihak pertama yang menggalakkan supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung keputusan tahanan rumah Najib Razak dikongsi kepada orang awam,” kata mereka.
Kedua-dua pemimpin DAPSY itu menyatakan pendirian berkenaan menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, 20 November 2026.
Kedua-dua pemimpin muda DAP itu juga mempersoalkan mengapa pihak yang yakin Najib layak menerima belas kasihan perlu keberatan sekiranya proses pengampunan berkenaan didedahkan kepada umum.
“Jika mereka yakin bekas Perdana Menteri itu layak menerima belas kasihan, tiada sebab untuk mereka berasa malu atau bersikap seolah-olah mahu menyorokkan sesuatu,” menurut kenyataan itu.
Proses belas kasihan
Louis dan Raja Ahmad Iskandar menegaskan orang ramai berhak mengetahui bagaimana proses belas kasihan dilaksanakan, khususnya apabila keputusan itu melibatkan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.
“Orang ramai berhak tahu bagaimana proses belas kasihan dijalankan. Ketelusan dalam proses pengampunan tidak merugikan sesiapa yang mahu melihat keputusan dibuat secara adil,” kata mereka.
Pada masa sama, DAPSY mengulangi pendirian menyambut baik tindakan menyahrahsiakan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung keputusan tahanan rumah Najib.
Menurut mereka, keputusan yang melibatkan bekas Perdana Menteri yang telah disabitkan atas kesalahan rasuah tidak sewajarnya diselubungi kerahsiaan.
Dalam perkembangan berkaitan, kedua-dua pemimpin itu turut menyatakan sokongan DAPSY terhadap usaha pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan gerakan mahasiswa dalam memperjuangkan agenda membasmi rasuah.
“Anggota DAPSY hari ini berdiri bersama wakil-wakil pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan gerakan mahasiswa kerana kami menyokong usaha membasmi rasuah dan tuntutan yang dibawa oleh Kempen Rakyat Benci Rasuah,” menurut kenyataan bersama itu lagi.
BACA JUGA Elak risiko DUN bubar, Ismail dijangka kekal Menteri Besar Negeri Sembilan