Faiz Fadzil: Kita boleh kalah, tetapi mengalah bukan dalam kamus anak muda AMANAH

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional 2026 “Membangun Negara Bangsa” disempurnakan oleh Tuan Hj. Mohd Faiz Fadzil Setiausaha Parti AMANAH Nasional di Hotel Seri Malaysia Bagan Lalang, Sepang, Selangor. 20hb November 2026 (Jumaat)

Setiausaha Agung Parti AMANAH Negara, Muhammad Faiz Fadzil menegaskan bahawa kekalahan dalam pilihan raya tidak seharusnya melemahkan semangat perjuangan, sebaliknya menjadi dorongan kepada anak muda untuk bangkit menghadapi cabaran politik negara.

Beliau berkata, meskipun AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) berdepan kekalahan dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN), perjuangan menentang politik identiti dan perkauman mesti diteruskan.

“Kita boleh kalah, tetapi sebagai anak muda, mengalah bukan dalam kamus kita,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional 2026 bertemakan Membangun Negara Bangsa di Hotel Seri Malaysia Bagan Lalang, Sepang.

Menurut Faiz, politik identiti yang dimainkan secara melampau merupakan antara faktor kekalahan tersebut dan AMANAH perlu memperkukuh usaha membawa pendekatan Islam yang bersifat rahmat untuk semua.

“Sebagai parti yang membawa agenda Islam rahmat untuk semua, kita harus bingkas dan bangkit untuk memastikan politik identiti, politik perkauman ini kita kuburkan dalam PRU yang akan datang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Pemuda AMANAH supaya memainkan peranan lebih berkesan dalam menyampaikan dasar perjuangan parti serta pencapaian Kerajaan MADANI kepada masyarakat, khususnya melalui media sosial.

Katanya, golongan muda mempunyai kelebihan dalam penguasaan teknologi dan penghasilan kandungan digital, namun kelebihan itu perlu dimanfaatkan untuk memastikan mesej parti sampai kepada pengundi pelbagai peringkat umur.

“Kita ada ramai pemuda pada hari ini, tetapi kita gagal untuk memastikan segala mesej kita, segala dasar perjuangan kita, segala prestasi baik kerajaan Pakatan Harapan ini kita sebarluaskan kepada pengundi-pengundi di bawah,” katanya.

Dalam ucapannya, Faiz turut mengkritik kerjasama politik antara Umno dan Pas yang didakwanya menggunakan sentimen perkauman untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Beliau mendakwa Pas dan Perikatan Nasional (PN) kini memberikan sokongan politik kepada Umno walaupun parti itu sebelum ini dikaitkan dengan pelbagai isu rasuah dan salah guna kuasa.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh kepimpinan dan ahli AMANAH, termasuk sayap Pemuda serta wanita, supaya memikul tanggungjawab masing-masing menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Faiz turut menekankan kepentingan penyertaan wanita muda dalam gerakan kepemudaan parti dengan menggesa Pemuda AMANAH dan WARDA bergerak seiring menjayakan program yang melibatkan anak muda.

Menurutnya, agenda inklusif yang diperjuangkan AMANAH perlu diterjemahkan melalui penyertaan bersama golongan lelaki dan wanita dalam setiap kegiatan kepemudaan.

Mengimbau pengalamannya sebagai bekas pemimpin Pemuda AMANAH Nasional, Faiz berkata beliau sentiasa meyakini kemampuan, kebijaksanaan dan bakat generasi muda untuk menerajui kepimpinan parti.

“Anda bukan pewaris perjuangan ini, tetapi anda adalah pejuang-pejuang masa kini dalam Parti AMANAH Negara,” tegasnya.

Beliau berkata, ramai pemimpin yang kini bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen memulakan perjalanan politik mereka melalui sayap Pemuda.

Justeru, Faiz berharap lebih ramai pemimpin muda AMANAH diberikan peluang bertanding dalam PRU16 bagi memperluas penyertaan generasi baharu dalam institusi perundangan negara.

Beliau turut merujuk langkah parti mengetengahkan seorang calon daripada generasi Z dalam pilihan raya baru-baru ini sebagai sebahagian usaha membuka ruang kepada kepimpinan muda.

Konvensyen berkenaan turut dihadiri Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda, barisan kepimpinan Pemuda negeri serta perwakilan dari seluruh negara.