Ketika BN-PN sepakat patuh arahan parti, PH Negeri Sembilan pula tetap hormati ketetapan istana
Ketika Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan sepakat mematuhi arahan pucuk pimpinan parti, lain pula pendirian Pakatan Harapan (PH).
PH menegaskan untuk menghormati ketetapan istana dalam menyelesaikan kemelut Menteri Besar negeri itu.
Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, pendirian 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH adalah jelas, iaitu menyokong proses yang ditetapkan istana tanpa memberikan sokongan kepada Datuk Ismail Lasim untuk kekal sebagai Menteri Besar.
Menurutnya, Ismail perlu membuktikan sokongan majoriti ADUN seperti yang ditegaskan Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan semalam.
“Ini bukan bermaksud kita (PH) menyokong Datuk Ismail Lasim, tetapi pendirian kita adalah jelas berpandukan ketetapan istana bahawa seseorang Menteri Besar perlu membuktikan majoriti yang ada padanya,” katanya dipetik BH.
Arul Kumar yang juga ADUN Nilai berkata, pentadbiran negeri perlu berjalan dengan baik bagi memastikan kepentingan rakyat dan ekonomi tidak terjejas akibat kemelut politik berpanjangan.
“Negeri ini perlu ditadbir dan diuruskan dengan baik. Jika tiada kerajaan yang sempurna mentadbir, kita lihat ia memberi impak kepada ekonomi dan rakyat di mana banyak masalah berlaku serta tidak dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Menteri Besar perlu mengemukakan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) untuk mendapat perkenan Tuanku Muhriz sebelum membuktikan sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pucuk pimpinan
Terdahulu, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan 24 daripada keseluruhan 25 ADUN BN dan PN mencapai kata sepakat untuk mematuhi arahan pucuk pimpinan serta ketetapan parti.
Kesepakatan itu dicapai dalam perjumpaan khas di Wisma Umno Negeri Sembilan, Seremban malam tadi yang dihadiri 22 ADUN, manakala dua lagi yang berada di luar negara turut menyatakan sokongan terhadap keputusan mesyuarat.
Bagaimanapun, Ismail yang juga ADUN Juasseh tidak menghadiri perjumpaan berkenaan.
Menurut kenyataan BN, kesepakatan itu bertujuan menyelesaikan segera kemelut politik negeri demi memastikan kestabilan pentadbiran dan kemakmuran rakyat.
Sementara itu, Istana Negeri Sembilan semalam menjelaskan bahawa dakwaan pihak Istana mahu Ismail kekal sebagai Menteri Besar adalah tidak tepat kerana beliau sendiri menyatakan tidak meletakkan jawatan.
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali menegaskan bahawa Ismail mesti membuktikan sokongan majoriti ADUN yang berterusan bagi menentukan kedudukannya selaras dengan konvensyen dan peruntukan Perlembagaan.
Istana turut menegaskan komitmen untuk mematuhi sepenuhnya proses perlembagaan dalam menangani kemelut pentadbiran negeri berkenaan.