Jangan pertahankan rasuah atas nama Melayu dan Islam, AMANAH mesti gempur asabiah -Mohamad Sabu

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Konvensyen Nasional 2026 Parti AMANAH Nasional yang disempurnakan oleh YB Datuk Seri Mohamed Sabu Presiden AMANAH di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, Selangor. 21hb November 2026 (Sabtu)

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan bahawa perjuangan mempertahankan bangsa dan agama tidak boleh dijadikan alasan untuk melindungi pemimpin yang melakukan rasuah, penyelewengan serta kezaliman.

Beliau berkata, sikap membela kelompok sendiri secara membuta tuli walaupun melakukan kesalahan merupakan fahaman asabiah yang bertentangan dengan ajaran Islam dan prinsip keadilan.

“Kasih kepada bangsa mesti mendorong kita memperbaiki keadaan, bukan mempertahankan kesalahan dan kemungkaran atas nama bangsa dan agama kononnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional AMANAH 2026 bertemakan “Istiqamah Menggempur Asabiah” di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, hari ini.

Mohamad memulakan pidatonya dengan memetik puisi Melayu karya Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang yang menurutnya mengajak masyarakat mencintai bangsa dengan kebijaksanaan, berani menegur kelemahan sendiri serta mempertahankan kebenaran dan keadilan.

Menurut beliau, Islam tidak melarang perpaduan dan semangat kekitaan, sebaliknya menolak ketaksuban kaum, keturunan atau parti politik yang menyebabkan seseorang mempertahankan kezaliman kelompoknya.

Beliau turut memetik hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan bahawa asabiah bermaksud membantu kaum sendiri melakukan kezaliman, selain mengingatkan bahawa kemuliaan manusia di sisi Allah SWT ditentukan berdasarkan ketakwaan, bukannya bangsa atau keturunan.

“Politik Islam mesti teguh pada prinsip ini. Keadilan tidak boleh diketepikan demi kemenangan parti, amanah tidak boleh dikorbankan demi mempertahankan pemimpin.

“Nama Islam tidak boleh digunakan untuk membenarkan kezaliman. Di sinilah bahayanya asabiah,” tegasnya.

Mohamad turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang sanggup mengumpul derma bagi membantu pemimpin terpalit kes rasuah, sedangkan kesalahan mencuri melibatkan rakyat biasa tidak mendapat perhatian serupa.

Beliau mengingatkan bahawa Rasulullah SAW sendiri menegaskan prinsip kesaksamaan undang-undang melalui hadis mengenai hukuman terhadap sesiapa sahaja yang mencuri, termasuk sekiranya dilakukan oleh puteri baginda, Fatimah.

“Bila orang yang curi duit masjid kena penjara enam bulan, tidak siapa mempedulikan, termasuk keluarga mereka, tapi yang curi berbilion-bilion sanggup kutip derma untuk membebaskan mereka.

“Saya pun tak faham, dapat pahala pula itu,” katanya. Dalam pidato sama, beliau membangkitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menurutnya meninggalkan beban kewangan besar kepada negara, selain masalah kewangan Tabung Haji yang pernah memerlukan langkah pemulihan.

Mohamad turut mempertahankan usaha pemulihan Tabung Haji ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) terdahulu yang menurutnya pernah menjadi sasaran dakwaan bahawa aset institusi umat Islam dijual kepada bukan Islam.

Beliau menyifatkan penggunaan sentimen kaum dalam isu tersebut sebagai contoh bagaimana pertimbangan masyarakat boleh dipengaruhi oleh prasangka sehingga mengetepikan fakta dan penjelasan mengenai dasar kerajaan.

Dalam masa sama, Mohamad mengkritik perubahan pendirian Pas dalam hubungan politik dengan Umno, DAP dan PKR, termasuk perbezaan sikap terhadap Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) ketika berada dalam kerajaan dan pembangkang.

Menurutnya, perjuangan berasaskan prinsip tidak sepatutnya berubah mengikut kedudukan politik atau kepentingan mendapatkan kuasa.
Beliau turut menyifatkan fahaman ekstremisme agama, mentaliti terkepung dan kempen kebencian kaum sebagai antara ancaman terhadap kematangan pemikiran masyarakat Melayu.

“Ancaman sebenar kepada Melayu dan Islam adalah pemikiran yang salah dalam memahami Islam, pemikiran ekstrem agama, pemikiran terkepung dan kempen emosi kebencian yang menghalang kematangan dan kebijaksanaan orang Melayu,” katanya.

Mohamad turut menyeru anak muda supaya berani menegur kerajaan dan pemimpin, termasuk kepimpinan AMANAH sendiri, bagi memastikan negara tidak terjerumus ke dalam amalan undang-undang dua darjat.

Beliau berkata, generasi muda perlu memperjuangkan pendidikan berkualiti, pekerjaan dengan gaji setimpal, perumahan mampu milik, kos sara hidup terkawal dan pentadbiran yang bersih tanpa terpengaruh dengan politik kebencian.

Menyentuh pentadbiran Kerajaan MADANI, beliau berkata pencapaian pertumbuhan ekonomi, peningkatan pelaburan dan pengukuhan kedudukan negara perlu diterjemahkan kepada manfaat yang benar-benar dirasai rakyat.

Menurutnya, peningkatan pendapatan negara tidak membawa makna sepenuhnya sekiranya petani, pesawah, nelayan dan golongan berpendapatan rendah masih berdepan tekanan kehidupan.

Dalam perkembangan politik semasa, Mohamad turut mengingatkan AMANAH dan PH supaya mengambil serius kerjasama pilihan raya antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) yang telah berlaku di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka

Beliau berkata, perubahan bentuk persaingan politik itu memerlukan persediaan lebih rapi, termasuk memperkukuh jentera, memperluas khidmat masyarakat dan menjelaskan dasar kerajaan berdasarkan fakta.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan tiga entiti utama parti, iaitu Biro Syariah, Biro Komunikasi dan Biro Pembangunan Sumber Manusia, menggerakkan usaha menggempur asabiah secara berterusan di semua peringkat organisasi

Katanya, Biro Syariah dan Biro Komunikasi perlu menyediakan penerangan mengenai Islam Rahmatan Lil Alamin yang mudah difahami serta berasaskan nas sahih, manakala Biro Pembangunan Sumber Manusia bertanggungjawab mengenal pasti bakat dan kepakaran anggota parti.

Mohamad turut mengingatkan seluruh ahli AMANAH supaya menjaga akhlak, mengurus wang dan harta dengan amanah, menerima teguran serta membantu masyarakat tanpa mengira pilihan politik mereka.

“Kita tidak boleh menggadaikan prinsip untuk mendapatkan kuasa. Yang zalim mesti ditentang, yang menyeleweng mesti dipertanggungjawabkan.
“Pendirian ini terpakai kepada semua, termasuk diri dan kepimpinan sendiri,” tegasnya.

Beliau mengakhiri pidatonya dengan menyeru seluruh kepimpinan dan ahli AMANAH memperkukuh organisasi serta memperbaharui tekad perjuangan bagi membina Malaysia yang bersatu, adil dan makmur berlandaskan prinsip kebenaran dan keadilan.
