Umno jangan sembunyi belakang MB, jawab siapa arah surat peletakan jawatan Ismail dihantar ke Istana?

Umno digesa menjelaskan siapa yang mengarahkan surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, dihantar ke Istana tanpa persetujuannya seperti yang didakwa beliau.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, pengakuan Ismail bahawa surat berkenaan berada dalam simpanan pimpinan parti sebelum dihantar ke Istana menimbulkan persoalan mengenai pihak yang sebenarnya mengawal pentadbiran kerajaan negeri.

Menurutnya, Umno tidak boleh berdiam diri apabila timbul persoalan mengenai penglibatan pimpinan parti dalam kemelut politik Negeri Sembilan.

“Pengakuan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bahawa surat peletakan jawatannya berada dalam simpanan pimpinan parti tetapi dihantar kepada Istana tanpa persetujuan beliau menimbulkan satu persoalan besar: Siapa sebenarnya yang sedang mengemudi kerajaan Negeri Sembilan? Menteri Besar atau ibu pejabat Umno?,” soal beliau.

Mahfuz turut mengaitkan isu itu dengan dakwaan Ismail sebelum ini bahawa beliau dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan usaha menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz daripada takhta.

Ismail sebelum ini mendakwa telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan sebelum bersama anggota EXCO menandatangani dokumen berkaitan pertikaian kedudukan institusi Diraja.

Mahfuz mempersoalkan sama ada tindakan menghantar surat peletakan jawatan itu turut dibuat atas arahan kepimpinan Umno atau keputusan individu.

“Siapa yang mengarahkan Ismail menandatangani dokumen berkaitan usaha menurunkan Tuanku Muhriz?

“Siapa yang memberikan tekanan sehingga beliau mendakwa terpaksa menandatanganinya?

“Siapa yang mengarahkan surat peletakan jawatannya dihantar kepada Istana?,” soal beliau.

Dalam pada itu, Mahfuz mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan penjelasan mengenai perkembangan siasatan laporan polis yang dibuat Ismail.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dikembalikan oleh Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut, justeru rakyat berhak mengetahui perkembangan siasatan berkenaan.

Mahfuz menegaskan Umno perlu memberikan penjelasan mengenai kemelut berkenaan, selain mengingatkan bahawa institusi Raja tidak sepatutnya dijadikan gelanggang percubaan strategi politik.