Pandai berceramah di kampung belum tentu mampu bawa Malaysia ke pentas dunia

Keupayaan seseorang pemimpin berucap di hadapan masyarakat setempat sahaja tidak memadai untuk membolehkannya membawa Malaysia mendepani cabaran geopolitik, geoekonomi dan geoteknologi dunia.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Lembaga Tabung Haji, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, seseorang yang mahu diangkat menjadi pemimpin nombor satu negara perlu mempunyai kewibawaan sehingga dihormati di dalam dan luar negara.

Beliau menjadikan layanan terhadap Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi ketika menghadiri persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Shenzhen, China sebagai contoh mengenai kepentingan kewibawaan seseorang pemimpin.

Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) itu berkata, meskipun Jepun merupakan antara kuasa ekonomi terbesar dunia, kedudukan ekonomi sesebuah negara tidak semestinya menjamin pemimpinnya mendapat layanan diplomatik yang sewajarnya.

“Apa yang boleh kita pelajari? Orang yang nak dijadikan orang nombor satu di mana-mana negara perlu mempunyai daya dihormati, di dalam dan di luar negara.

“Ini penting kerana kita hidup di era geo-politik, geo-ekonomi dan geo-teknologi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Percaturan antarabangsa

Nik Hasyudeen turut mengingatkan bahawa kebolehan seseorang berpidato di hadapan masyarakat setempat tidak semestinya mencerminkan keupayaannya memahami perkembangan dan percaturan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, Malaysia kini berdepan cabaran besar dalam membangunkan keupayaan teknologi sendiri ketika kuasa-kuasa ekonomi dunia giat membangunkan ekosistem yang menghimpunkan ratusan syarikat teknologi.

“Di mana bandar atau kawasan teknologi Malaysia?

“Menuju ke hadapan, inilah cabaran negara. Jika tidak ada daya menjana teknologi, kita akan terjajah kembali,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran mengangkat seseorang sebagai pemimpin negara jika pendekatannya hanya berkisar kepada menyalahkan pihak lain tanpa menawarkan penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi.

“Menuju ke hadapan, inilah cabaran negara. Jika tidak ada daya menjana teknologi, kita akan terjajah kembali.

“Jika setiap hari ratibnya hanyalah menyalahkan orang itu dan ini, khayallah kita jika menganggap itulah orang yang layak memimpin negara. Nanti dia suruh kita meratib setiap kali negara menghadapi masalah,” ujarnya.

Tambahnya, di dalam Al-Quran terdapat banyak cerita berkenaan manusia yang tidak peduli bahawa perangai mereka akan mendatangkan kehancuran.

“Begitu juga dengan perangai Bani Israel yang meminta makanan hamba mereka walaupun Allah dah turunkan Mann dan Salwa.

“Kita bertanggungjawab ke atas apa-apa keputusan dan tindakan yang kita buat. Jangan salahkan orang lain,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Kelantan tak suka pondok bas bersih? Dua kes perobohan cetus tanda tanya