Saifuddin temui Abang Jo, hargai komitmen Sarawak terhadap kesinambungan Kerajaan Persekutuan
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan sokongan Sarawak dalam memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam kunjungannya ke negeri itu semalam.
Pertemuan tersebut membincangkan beberapa perkara berkepentingan bersama melibatkan isu keselamatan, politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kebajikan rakyat harus terus menjadi keutamaan.
“Semangat saling menghormati, persefahaman dan kepercayaan perlu terus menjadi asas hubungan Persekutuan-Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam konteks politik negara, Saifuddin turut menghargai pendirian Sarawak dalam menyokong usaha Kerajaan Persekutuan memastikan kesinambungan pentadbiran negara.
“Dalam konteks politik negara, saya menghargai komitmen dan sokongan Sarawak terhadap usaha Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pentadbiran negara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama dan persefahaman tersebut amat penting bagi membolehkan kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan negara.
Antara agenda yang diberikan penekanan ialah pembangunan ekonomi, pelaksanaan reformasi dan kesejahteraan rakyat.
“Kerjasama serta persefahaman ini amat penting bagi membolehkan kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan ekonomi, pelaksanaan reformasi dan kesejahteraan rakyat,” kata Saifuddin lagi.
BACA JUGA Dulu Nik Aziz sokong Anwar jadi PM, kini Pas era Hadi semakin rapat dengan Zahid