Pak Samad pergi, Anwar kenang ‘Salina’ yang mengangkat suara insan tersisih
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa hiba dan sayu atas pemergian Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said yang meninggal dunia hari ini pada usia 91 tahun, sambil mengenang perjuangan Allahyarham membela rakyat melalui karya sastera, bahasa Melayu dan keadilan.
Menerusi kenyataan takziah, Anwar menyifatkan pemergian tokoh yang mesra dikenali sebagai Pak Samad itu sebagai kehilangan seorang sasterawan yang sepanjang hayatnya memberikan perhatian kepada kehidupan golongan terpinggir.
“Saya menerima khabar pemergian Sasterawan Negara A. Samad Said dengan rasa hiba dan sayu,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Anwar turut mengimbas novel terkenal Allahyarham, Salina yang diterbitkan pada 1961, sebagai karya yang membuka mata masyarakat terhadap kehidupan insan yang sering dipinggirkan.
Menurut beliau, melalui karya tersebut, Pak Samad mendekatkan pembaca kepada golongan yang tersisih supaya masyarakat dapat memahami penderitaan serta berkongsi harapan mereka untuk mendapatkan kehidupan lebih baik.
“Lewat ‘Salina’ (1961), Pak Samad mendekatkan kita kepada insan yang sering tersisih, agar kita turut menggarap duka dan memperjuang harapan mereka,” katanya.
Perdana Menteri turut mengenang keteguhan Pak Samad dalam mempertahankan kedudukan bahasa Melayu serta memperjuangkan keadilan, selain menyifatkan kasih Allahyarham terhadap rakyat akan terus dikenang melalui karya-karyanya.
“Kasihnya kepada rakyat akan terus hidup dalam karya-karyanya, juga dalam kecekalannya membela bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan,” ujar Anwar.
Beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, merahmati rohnya dan memberikan ketabahan kepada ahli keluarga yang ditinggalkan.
Allahyarham yang dilahirkan pada 9 April 1935 di Durian Tunggal, Melaka, menerima Anugerah Sastera Negara pada 1985 dan meninggalkan khazanah penulisan termasuk Salina, Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang serta Hujan Pagi, selepas dilaporkan meninggal dunia sekitar pukul 6 petang tadi ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
BACA JUGA “Saya kehilangan seorang sahabat dan guru” – Zunar turut berduka atas pemergian A Samad Said