PKR Sarawak tak bertanding PRN? Pilih jaga hubungan dengan GPS

PKR Sarawak memilih untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Keputusan yang dilihat mengutamakan hubungan politik dalam Kerajaan Perpaduan serta kerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pendirian itu diumumkan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak menerusi kenyataan media bertarikh 24 November, dengan parti itu menegaskan keputusan berkenaan dibuat selaras dengan prinsip kerjasama politik dan komitmen untuk mengekalkan kestabilan negeri serta Persekutuan.

“Selaras dengan prinsip tersebut serta keputusan yang telah diputuskan oleh Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak mengumumkan ketetapan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13,” menurut kenyataan itu.

PKR Sarawak berkata keputusan berkenaan turut mengambil kira semangat muafakat dan kerjasama politik yang telah dibina bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya GPS.

“Pertimbangan utama yang mendasari pendirian ini adalah sebagai tanda menghormati semangat kerjasama, muafakat, dan komitmen politik dalam Kerajaan Perpaduan bagi memelihara kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pendirian berkenaan juga bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak, termasuk dalam melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

PKR Sarawak turut menegaskan agenda pembangunan, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri itu terus menjadi antara pertimbangan penting dalam menentukan pendirian politik parti.

“…serta memastikan agenda pembangunan, kemajuan ekonomi, dan kesejahteraan rakyat Sarawak terus diberikan perhatian,” menurut kenyataan itu.

Keputusan PKR Sarawak untuk tidak menyertai pertandingan PRN kali ini turut disertai arahan kepada seluruh jentera dan pimpinan parti di negeri itu supaya menghormati ketetapan berkenaan.

“MPN PKR Sarawak mengarahkan seluruh jentera dan pimpinan parti di semua peringkat di negeri Sarawak agar mematuhi dan menghormati ketetapan ini serta terus menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan khususnya GPS,” katanya.

Parti itu bagaimanapun menegaskan keputusan berkenaan tidak bermakna mereka akan mengabaikan peranan politik dan khidmat kepada rakyat Sarawak.

“PKR Sarawak akan terus melaksanakan tanggungjawab serta khidmat bakti kepada rakyat Sarawak tanpa mengabaikan peranannya di negeri ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut ditandatangani Penasihat PKR Sarawak, Datuk Seri Hajjah Hafsah Harun; Naib Presiden PKR Pusat, Roland Engan; serta Pengerusi MPN PKR Sarawak, Mahmud bin Epah.

BACA JUGA Empat tahun jadi PM, Anwar ingatkan satu perkara lebih penting daripada jawatan