Anwar belum terima peletakan jawatan Anthony Loke, status masih ‘cuti’
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan status menteri Kabinetnya, Anthony Loke susulan keputusan beliau untuk meletakkan jawatan.
Anwar berkata, beliau ada bertemu dengan Anthony Loke dan meminta Setiausaha Agung DAP itu mengambil cuti buat masa ini berbanding meletakkan jawatan.
“Saya belum terima peletakan jawatan, dia masih bercuti.
“(Saya ada) jumpa (Loke), dia bagi alasan yang kita tahu dan saya beritahu, cuti dulu,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara hari ini.
Mengulas mengenai pelaksanaan tugas Menteri Pengangkutan sepanjang ketiadaan Loke, Anwar berkata, Kementerian Pengangkutan memiliki Timbalan Menteri serta Ketua Setiausaha (KSU) selain pengurusan tertinggi kementerian.
“Tugas sekarang ni kalau ikut peraturannya memang KSU ada, Timbalan Menteri ada, tapi memang Perdana Menteri tampung (pantau juga) sekejap,” katanya.
Anthony Loke telah mengumumkan peletakan jawatannya pada 10 November lalu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah.