Harga minyak turun lagi, Kerajaan MADANI sedia hampir RM40 bilion untuk subsidi bahan api tahun depan

Harga runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing turun sebanyak 25 sen seliter mulai esok, manakala rakyat yang layak terus menikmati harga bahan api bersubsidi di bawah inisiatif BUDI MADANI.

Dalam usaha mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat, Kerajaan MADANI turut menyediakan peruntukan hampir RM40 bilion bagi subsidi bahan api tahun hadapan.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga baharu bahan api bagi tempoh 26 November hingga 2 Disember ditetapkan berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Harga RON97 turun daripada RM4 kepada RM3.75 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi turun daripada RM3.72 kepada RM3.47 seliter.

Harga runcit diesel tanpa subsidi pula menurun daripada RM4.72 kepada RM4.47 seliter.

Bagaimanapun, penerima yang layak di bawah inisiatif BUDI95 terus menikmati harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter, dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.48 bagi setiap liter.

Jumlah itu bersamaan 43 peratus daripada harga RON95 tanpa subsidi yang ditetapkan bagi tempoh berkenaan.

Lebih separuh

Bagi BUDI Diesel pula, penerima yang layak terus menikmati harga RM2.10 seliter berbanding RM4.47 seliter tanpa subsidi.

Ini bermakna kerajaan menanggung lebih separuh daripada harga diesel tanpa subsidi, iaitu sebanyak RM2.37 seliter atau 53 peratus.

Harga bahan api di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) turut dikekalkan pada RM2.05 seliter, manakala Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal pada RM2.15 seliter.

Menurut MOF, penurunan harga bahan api itu dipengaruhi penyederhanaan harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau serta prospek peningkatan bekalan minyak mentah global.

Bagaimanapun, kementerian itu mengingatkan bahawa ketidaktentuan geopolitik, kekangan bekalan di beberapa pasaran dan risiko gangguan penghantaran petroleum masih boleh menyebabkan harga minyak dunia terus mengalami turun naik.

Dalam menghadapi ketidaktentuan tersebut, Kerajaan MADANI kekal komited melindungi rakyat dan perniagaan menerusi pelaksanaan subsidi bahan api bersasar BUDI MADANI.

Peruntukan hampir RM40 bilion bagi subsidi bahan api pada 2027 disediakan bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, di samping melindungi penerima yang layak daripada kesan turun naik harga petroleum dunia.

MOF menegaskan kerajaan akan terus mengambil pendekatan berhemat dalam pengurusan subsidi bahan api bagi melindungi kepentingan rakyat serta memastikan bekalan petroleum negara kekal mencukupi dan terjamin.

BACA JUGA Angguk berbelas kali dan main jam tangan, bahasa tubuh MB Pas depan Duta Austria cetus sindiran