Nak bantuan tapi Belanjawan Selangor 2027 tak mahu sokong, ramai kecam tindakan tujuh ADUN Pas berkecuali
Tindakan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas memilih untuk berkecuali dalam pengundian Belanjawan Selangor 2027 mengundang kecaman orang ramai di media sosial yang mempersoalkan pendirian mereka terhadap kebajikan rakyat.
Tujuh ADUN berkenaan masing-masing mewakili kawasan Paya Jaras, Sijangkang, Sungai Ramal, Sabak, Semenyih, Ijok dan Hulu Bernam.
Menerusi ruangan komen di Threads, rata-rata mempersoalkan tindakan wakil rakyat terbabit yang tidak memberikan sokongan kepada belanjawan negeri, sedangkan pelbagai peruntukan dan bantuan disediakan untuk manfaat penduduk.
“Nak bantuan tapi belanjawan pun tak nak sokong… Apa sebenarnya mereka nak?” tulis seorang netizen dalam komen yang menerima 118 tanda suka setakat ini.
Seorang penduduk di Semenyih turut mempersoalkan pendirian wakil rakyat di kawasannya sambil menegaskan bahawa belanjawan negeri membabitkan kepentingan rakyat.
“Saya dok Semenyih. Apa masalah YB Semenyih jadi pihak berkecuali ni? Belanjawan tu hak rakyat, kan?” tegas @asha.kakchik.
Pengguna @izzuan741 pula mempersoalkan alasan di sebalik tindakan berkecuali itu, khususnya apabila belanjawan berkenaan menyediakan pelbagai pakej bantuan dan kebajikan kepada rakyat.
“Berkecuali ni apa mereka nak sebenarnya? Tak setuju rakyat akan dapat banyak manfaat dengan pakej-pakej bantuan dan kebajikan ke?” bidasnya.
Nada kekecewaan turut disuarakan pengguna @faezahsaad_ yang menggesa wakil rakyat supaya mengetepikan perbezaan politik demi kepentingan penduduk.
“Fikirkan rakyat, politik tolak tepi dulu. Kecewa betul dengan pemimpin macam ni,” keluhnya.
Pendirian ADUN Ijok dan Sungai Ramal turut menjadi perhatian apabila terdapat warganet mempersoalkan keputusan wakil rakyat kawasan berkenaan untuk tidak memberikan sokongan kepada belanjawan tersebut.
Malah, terdapat netizen yang secara sinis mencadangkan supaya peruntukan kepada tujuh ADUN terbabit turut dikecualikan susulan pendirian mereka dalam pengundian berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mendapat penghargaan daripada netizen yang menyambut baik sokongannya terhadap Belanjawan Selangor 2027.
BACA JUGA Ulama bukan kuda tunggangan politik, jangan jadikan kejahilan sebagai senjata