Netizen ‘puji’ AKSB, bab potong meter memang cekap, air karat bila nak selesai?

Operasi pemotongan meter air terhadap pengguna yang mempunyai tunggakan bil di Kuala Krai, Kelantan mencetuskan sindiran dan kritikan kalangan penduduk.

Rata-rata mempersoalkan tindakan penguatkuasaan ketika isu gangguan bekalan air masih menjadi keluhan masyarakat setempat.

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sebelum ini memaklumkan pihaknya menjalankan operasi pemotongan meter terhadap pengguna yang mempunyai tunggakan bil air di sekitar jajahan Kuala Krai pada Selasa, 24 November lalu.

Menurut kenyataan yang dikongsikan melalui halaman I Love Kuala Krai, operasi berkenaan dilaksanakan oleh anggota penguatkuasa AKSB sebagai langkah memastikan pengguna menjelaskan bil tertunggak mengikut tempoh ditetapkan.

Pengguna yang masih mempunyai tunggakan turut diminta membuat pembayaran segera bagi mengelakkan bekalan air dipotong, selain boleh menyemak bil masing-masing melalui saluran pembayaran rasmi AKSB.

Bagaimanapun, perkongsian mengenai operasi tersebut mengundang pelbagai komen daripada pengguna media sosial yang mempersoalkan keadaan bekalan air, kadar caj dan pengalaman mereka berhubung perkhidmatan air di kawasan masing-masing.

Antara komen yang mendapat perhatian ialah seorang pengguna yang mempersoalkan sama ada tindakan pemotongan meter dilakukan dengan cepat berbanding usaha menangani masalah bekalan air.

“Potong tak potong sama aje… air tak ada keluar angin paip… ataupun keluar air kopi, teh tarik. Masa cabut meter air keluar ka…?” tempelak seorang netizen.

Seorang lagi pengguna turut menyindir tindakan pemotongan meter yang dianggap pantas, sambil membangkitkan isu kualiti air yang diterima penduduk.

“Potong memang cepat… air karat bila nak selesai,” ujarnya.

Ada juga pengguna berkongsi pengalaman berhubung bil air yang terus dikenakan walaupun rumah tidak diduduki atau penggunaan air dikatakan rendah, sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai caj minimum dan struktur bil.

“Rumah tinggal kosong, meter tutup pun. Bil sampai juga caj minimum,” tulis seorang pengguna dalam ruangan komen.

BACA JUGA Nak bantuan tapi Belanjawan Selangor 2027 tak mahu sokong, ramai kecam tindakan tujuh ADUN Pas berkecuali