Guna agama sebagai topeng politik, berbeza pandangan terus dilabel Dajjal, Anwar tegur sikap taksub kepada tok guru

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur kecenderungan pihak tertentu menggunakan agama sebagai topeng politik sehingga pandangan seseorang yang dianggap tok guru diterima tanpa sebarang penelitian.

Perdana Menteri turut mempersoalkan budaya melabel individu yang berbeza pandangan sebagai Dajjal sehingga masyarakat tidak lagi berani menegur sesuatu kenyataan meskipun jelas mempunyai kelemahan.

Menurut Anwar, ilmu seharusnya menjadi prasyarat utama dalam kaedah dakwah, bukannya menggunakan kedudukan atau penampilan seseorang sebagai ukuran mutlak terhadap kebenaran.

“Kesian rakyat dengan fahaman agama yang agak dangkal, mereka terima saja sebagai yang tetap, yang tidak boleh dirombak.

“Padahal, kenyataan-kenyataan itu adalah pendapat-pendapat politik. Sebab itu fatwa politik itu berubah-ubah.

“Tapi disebabkan orang anggap tok guru, jadi mesti betul. Padahal, itu pandangan politik,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan pendakwah dan penceramah motivasi, Izzhar Nazri dalam episod khas program Dialog Negara terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi.

Takut bersuara

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, keadaan menjadi semakin membimbangkan apabila perbezaan pandangan tidak lagi diraikan menerusi perbahasan ilmiah, sebaliknya disambut dengan pelabelan yang menyebabkan masyarakat takut bersuara.

“Kalau seseorang itu yang pakaiannya itu… begitu rupa beri pandangan, tak berani siapapun untuk menegur walaupun salah.

“Kalau pandangan itu berbeza sedikit, terus (dilabel) Dajjal, tak berani siapa tegur.

“Jika begini, kita mahu ke mana sebenarnya?” soal pemimpin yang menduduki tempat ke-13 dalam senarai 500 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia itu.

Anwar berkata, keadaan sedemikian bukan sahaja tidak menggalakkan perbahasan dan pendalaman ilmu, malah merendahkan darjat agama itu sendiri dalam kalangan masyarakat.

Dalam masa sama, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap sikap berkompromi dengan rasuah dan penyelewengan hanya kerana pihak terbabit menggunakan label Islam sehingga tiada siapa berani menegur.

Bagaimanapun, Anwar menjelaskan teguran tersebut tidak ditujukan secara khusus kepada pembangkang kerana permasalahan sama juga boleh berlaku dalam kalangan pihak kerajaan mahupun pendakwah.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menggesa generasi muda supaya membudayakan penelitian, kajian dan perbincangan serta tidak menerima sesuatu pandangan secara membuta tuli hanya kerana seseorang itu bergelar mahaguru atau Mursyidul Am.

Malah, Anwar turut mengingatkan bahawa kenyataan dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri tidak seharusnya diterima tanpa penelitian terhadap asas dan kesahihan fakta yang dikemukakan.

“Jadi, kena dengar dan kupas termasuk saya sendiri, benar atau tidak. Ada asas atau tidak. Fakta yang diberi betul atau tidak,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Nak bantuan tapi Belanjawan Selangor 2027 tak mahu sokong, ramai kecam tindakan tujuh ADUN Pas berkecuali