Sibuk macam mana sekalipun, jangan sampai anak sendiri hilang tempat mengadu – Anwar

Di sebalik kebimbangan terhadap masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa tanggungjawab menangani isu berkenaan tidak seharusnya diserahkan kepada pihak sekolah semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mendapat perhatian, kasih sayang serta sokongan emosi yang mencukupi.

Menurut Anwar, berdasarkan pembentangan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, tekanan dalam keluarga dikenal pasti sebagai antara punca utama masalah membabitkan pelajar, selain insiden buli dan penderaan di sekolah.

Beliau berkata kesibukan ibu bapa dengan urusan pekerjaan bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab mendidik dan meluangkan masa bersama anak-anak.

“Sibuk bagaimanapun tidak boleh lari daripada tanggungjawab menjaga, mendidik, memberi masa dan ruang, menunjukkan rasa kasih sayang,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif PlusVibes Group, Dr Madiha Fuad dalam program Dialog Negara Khas bertemakan ‘Di Sebalik Keputusan’ terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri, malam tadi.

Madiha sebelum itu membangkitkan kebimbangan mengenai tekanan emosi, kesunyian dan masalah kesihatan mental yang dihadapi pelajar sehingga ada dalam kalangan mereka takut untuk hadir ke sekolah atau mendapatkan bantuan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada masyarakat terlalu memberikan penekanan terhadap kecemerlangan akademik sehingga kesejahteraan emosi dan psikologi anak-anak terabai.

Pendidikan kesihatan mental di sekolah

Mengulas cadangan memasukkan pendidikan kesihatan mental dalam kurikulum sekolah, Anwar menyatakan persetujuannya terhadap langkah yang dikemukakan Kementerian Pendidikan (KPM) itu.

Bagaimanapun, beliau berpandangan elemen berkenaan boleh diterapkan menerusi mata pelajaran sedia ada, termasuk pendidikan agama dan moral, tanpa semestinya mewujudkan mata pelajaran khusus.

Menurutnya, kaedah penyampaian yang berkesan serta penghayatan nilai kemanusiaan perlu diberikan perhatian supaya pendidikan tersebut benar-benar memberi kesan kepada kehidupan pelajar.

Anwar turut menekankan bahawa peranan guru bukan sekadar menyampaikan ilmu akademik, tetapi juga membimbing serta membantu mengenal pasti masalah emosi yang dihadapi anak didik mereka.

Mengenai cadangan menambah bilangan kaunselor terlatih di sekolah, beliau mengakui terdapat keperluan berbuat demikian bagi menangani kes yang memerlukan bantuan profesional, namun pelaksanaannya melibatkan implikasi kewangan yang besar.

Dalam pada itu, Anwar menggesa usaha meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental dipergiat menerusi kerjasama KPM, Kementerian Kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan masyarakat.

“Ibu bapa ada tanggungjawab dia. Guru ada tanggungjawab,” katanya.

BACA JUGA Netizen ‘puji’ AKSB, bab potong meter memang cekap, air karat bila nak selesai?