‘Siapa pun, takkan terlepas!’ Saifuddin beri amaran sindiket dadah guna aset TUDM
Siasatan terhadap sindiket penyeludupan dadah yang didakwa mengeksploitasi aset dan kemudahan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka membuka lebih banyak pendedahan, termasuk kemungkinan penglibatan individu berprofil tinggi yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan yang sedang dijalankan bukan sekadar tertumpu kepada mereka yang bertindak sebagai pengangkut atau orang tengah, sebaliknya turut menelusuri keseluruhan rangkaian sindiket berkenaan.
Menurutnya, operasi risikan yang bermula awal tahun ini mendapati kegiatan tersebut dipercayai telah beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan melibatkan satu sindiket besar yang mempunyai struktur serta pembahagian peranan tersendiri.
“ Saya bagi jaminan bahawa siapa pun yang ke depan ini beberapa hari kita akan tangkap, dia takkan terlepas. Apa pun jawatan dia, apa pun kedudukan dia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin berkata berdasarkan taklimat awal yang diterimanya, pihak berkuasa turut mengenal pasti kemungkinan terdapat individu yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat terlibat dalam kegiatan berkenaan, sekali gus memastikan siasatan tidak hanya tertumpu kepada anggota bawahan.
“Itu jaminan daripada taklimat awal yang saya diberikan, ada beberapa potensi nama-nama atau mereka yang kita fikir ada kedudukan dalam masyarakat, maka, kita ambil juga tindakan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa siasatan awal mengenal pasti penglibatan individu yang mempunyai akses serta hubungan dengan anggota dan operasi penerbangan tentera, yang dipercayai membuka ruang kepada sindiket mengeksploitasi kemudahan berkenaan.
“Kita percaya ini permulaan membuka ruang kepada sindiket untuk menggunakan kemudahan tersebut bagi tujuan penyeludupan,” katanya.
Saifuddin menjawab soalan Ronald Kiandee (PN-Beluran) berhubung sindiket penyeludupan dadah yang mengeksploitasi kemudahan TUDM di Sabah sebagai laluan transit antarabangsa. Kiandee sebelum itu menyifatkan kes berkenaan sebagai sesuatu yang mengejutkan, sehingga membandingkannya dengan kegiatan sindiket dadah besar seperti yang pernah dikaitkan dengan Pablo Escobar di Colombia.
Sebelum ini, media melaporkan seorang juruterbang TUDM yang ditahan dalam kes berkenaan dipercayai berperanan mengangkut bekalan dadah dari Lembah Klang ke Sabah menggunakan aset tentera.
Setakat ini, seramai 13 individu ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam. Penahanan dibuat susulan penemuan dadah yang disembunyikan dalam lima bagasi dan sebuah kotak di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, Selangor.
Dadah berkenaan dikesan melalui pemeriksaan rutin terhadap barangan sebelum dimuatkan ke dalam pesawat TUDM, sekali gus menjadikan kejadian itu antara kes yang berjaya dipatahkan menerusi prosedur pemeriksaan berkenaan.
Saifuddin berkata rampasan tersebut membabitkan 96.64 kilogram dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta, manakala pihak berkuasa masih menelusuri rangkaian sindiket yang lebih luas termasuk ketua, pembiaya dan perancang kegiatan.
“Kita luaskan siasatan untuk kenal pasti penglibatan seluruh organisasi ini dan peranan setiap individu yang terlibat. Siapa pembiayanya, siapa perancangnya, siapa berperanan sebagai transporter, siapa yang jadi runner dan semuanya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin turut mendedahkan risikan berterusan berjaya mengesan tujuh transaksi penyeludupan dadah di Tawau yang membabitkan 1.8 tan dadah dengan nilai yang dinyatakan sebanyak RM93 juta.
Bagi sel Labuan pula, sebanyak 14 transaksi dikesan sejak Ogos 2024, membabitkan 1.2 tan dadah bernilai RM63 juta sebelum kegiatan berkenaan berjaya dilumpuhkan.
Pendedahan itu memperlihatkan skala operasi sindiket yang didakwa memanfaatkan kemudahan berkaitan penerbangan tentera, sekali gus menjadikan siasatan terhadap jaringan pengangkutan, pembiayaan dan individu yang mempunyai akses kepada aset berkenaan sebagai antara fokus utama pihak berkuasa.
BACA JUGA Netizen ‘puji’ AKSB, bab potong meter memang cekap, air karat bila nak selesai?