Dari bendang ke Putrajaya, Bang Mat kembali menabur bakti bawa teknologi dron

Di Kampung Guar Petai, Pulau Pinang, bermulanya perjalanan hidup seorang anak daripada keluarga pesawah yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Biarpun sudah bergelar menteri, Datuk Seri Mohamad Sabu atau lebih mesra disapa Bang Mat tidak melupakan kampung halaman yang menjadi tempat kelahiran dan beliau dibesarkan.

Hari ini, Bang Mat kembali ke kampung berkenaan untuk menyerahkan sebuah dron pembajaan bagi membantu golongan pesawah memanfaatkan teknologi pertanian moden, sekali gus mengurangkan kos operasi mereka.

“Di Kampung Guar Petai inilah Bang Mat dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga pesawah.

“Kampung ini sentiasa dekat di hati Bang Mat, sebab itulah Bang Mat memilih Guar Petai sebagai Kampung Angkat MADANI 2026,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Penyerahan dron itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif Kampung Angkat MADANI yang menyaksikan lapan projek menaik taraf kemudahan di kampung berkenaan dilaksanakan dengan peruntukan RM500,000.

Antara projek yang dilaksanakan termasuk membaik pulih mercu tanda, longkang, jalan raya dan rumah usang, selain menceriakan masjid, menyediakan rumah burung hantu di kawasan sawah serta memasang lampu solar.

Pelatih TVET

Menurut Mohamad, usaha membantu masyarakat pesawah di kampung berkenaan turut melibatkan pelatih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian sejak 19 Julai lalu.

Penglibatan golongan pelatih itu membolehkan pesawah mendapat bantuan dalam penggunaan teknologi dron, khususnya bagi kerja-kerja pembajaan.

“Kini, pelatih TVET Pertanian telah membantu para pesawah menggunakan dron dalam pembajaan yang telah disumbangkan oleh Bang Mat,” katanya.

Mohamad turut melahirkan kegembiraan melihat kemeriahan sambutan penduduk sempena Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI yang turut diserikan dengan kenduri rakyat.

Daripada membesar dalam keluarga pesawah hingga menggalas amanah di Putrajaya, kepulangan Mohamad ke Guar Petai kali ini membawa kemudahan baharu buat masyarakat kampung yang membesarkannya.

“Semoga hasil tuaian bertambah selepas ini dan manfaatnya terus dirasai oleh seluruh warga Kampung Guar Petai,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Mahiaddin tahu wang RM25.3 juta masuk akaun Bersatu tapi pilih ‘pejam mata’ – Pendakwaan