Abbas kritik tujuh ADUN Pas enggan undi Belanjawan 2027 walau babitkan tambahan elaun guru KAFA

Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Selangor, Abbas Azmi mempersoalkan pendirian tujuh ADUN Pas yang mengambil sikap berkecuali dalam undian Belanjawan Selangor 2027, termasuk ketika belanjawan itu membabitkan tambahan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

ADUN Seri Serdang itu mempersoalkan prinsip perjuangan Melayu Islam yang sering dilaungkan Pas, sedangkan tambahan elaun guru KAFA turut menjadi antara perkara yang dibangkitkan dalam belanjawan berkenaan.

“Apakah tujuh orang ADUN pembangkang ini mengambil sikap berkecuali seolah-olah menganggap tambahan elaun kepada guru KAFA sebagai perkara remeh?

“Di manakah prinsip tujuh orang ADUN Pas ini berkaitan kepentingan Melayu Islam yang sering dilaungkan?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abbas turut menegaskan bahawa Belanjawan Selangor 2027 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memberi tumpuan kepada permasalahan negeri serta pelbagai insentif dan inisiatif untuk rakyat tanpa mengira latar belakang.

Beliau berkata, isu kepartian tidak seharusnya mengatasi kepentingan rakyat, terutama apabila belanjawan negeri turut merangkumi usaha menangani masalah banjir yang masih memerlukan perhatian.

“Setiap insentif dan inisiatif kerajaan negeri adalah untuk keseluruhan rakyat Selangor tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Mengulas lanjut, Abbas mempersoalkan tindakan ADUN Ijok yang turut berkecuali ketika undian belanjawan, sedangkan kawasan itu berdepan masalah banjir yang memerlukan usaha berterusan daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM36.45 juta bagi tebatan banjir dan RM19.38 juta bagi sistem saliran, selain beberapa peruntukan lain berkaitan pembangunan serta pengurusan infrastruktur.

Abbas menegaskan bahawa usaha menyelesaikan masalah banjir memerlukan masa dan pembangunan infrastruktur secara berterusan.

Beliau turut menggesa semua pihak supaya mengetepikan kepentingan kepartian apabila berhadapan isu yang melibatkan kesejahteraan rakyat.

“Jangan berselindung di sebalik nama demokrasi untuk lari daripada isu asal,” katanya.