Terkini polis buka dua kertas siasatan terhadap Tony Pua dan Khoo Poay Tiong

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun membuka kertas siasatan berasingan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan terhadap Tony Pua berkaitan hantaran Facebook yang mengandungi maklumat penyahklasifikasi dokumen pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

Manakala siasatan terhadap Khoo Poay Tiong pula berkaitan hantaran Facebook mengenai arahan penutupan premis perniagaan di Kuala Terengganu ketika solat Jumaat oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Menurut beliau, kedua-dua siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Bagi kes membabitkan Tony Pua, PDRM menerima sebanyak 55 laporan polis dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 203A Kanun Keseksaan berkaitan pendedahan maklumat, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Bagi kes membabitkan Khoo Poay Tiong, polis menerima dua laporan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 298 berkaitan perbuatan yang dilakukan dengan niat sengaja melukai perasaan agama seseorang, manakala Seksyen 505(b) berkaitan kenyataan yang boleh mendatangkan ketakutan atau kegentaran awam.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan malam ini, Mohd Khalid memaklumkan bahawa kedua-dua kes masih dalam peringkat siasatan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

PDRM juga memberi amaran agar semua pihak tidak menyentuh atau membangkitkan isu 3R dalam apa jua bentuk yang boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian masyarakat.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja membuat atau menyebarkan kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam,” katanya.