Fahmi jawab kebimbangan, saman MCMC terhadap Google tak jejas pelaburan RM61 bilion

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan, tindakan undang-undang yang diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Google LLC tidak akan menjejaskan pelaburan syarikat itu di Malaysia yang berjumlah AS$15 bilion (kira-kira RM61.1 bilion).

Beliau berkata, tindakan saman itu adalah dua perkara berbeza kerana ia melibatkan isu kandungan memudaratkan dan tiada kaitan dengan pelaburan syarikat gergasi itu.

“Ia adalah dua perkara yang berbeza kerana dari segi kawal selia, kita mempunyai satu pandangan yang mana rakyat Malaysia tidak harus didedahkan kepada kandungan memudaratkan seperti yang termaktub dalam Akta Keselamatan Dalam Talian,” katanya dalam sidang media memetik Bernama.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam menangani isu kandungan memudaratkan, MCMC akan merujuk pada Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 serta Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian bagi menentukan takrifan kandungan berkenaan.

“Ia adalah perbincangan beraspek kawal selia, tidak berkait dengan isu pelaburan,” katanya sambil menzahirkan harapan agar pihak berkaitan dapat memberikan kerjasama dalam menangani isu itu.

Pada Rabu lepas, MCMC memulakan dua tindakan undang-undang terhadap Google LLC dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap kandungan memudaratkan di YouTube.