Ikon Muay Thai dunia Rodtang meriahkan BSP Grand Prix 2026

FOTO BERITA: Sidang Media BSP Grand Prix Muaythai 2026 oleh Mr. Uwais Abdullah CEO BSP Mohd Hazrul Mohd Sapri Hallo Fight Lab dan Rodtang Ikon / Fighter Muaythai di Conference Room, Potrait Hotel, Empire City, Petaling Jaya, Selangor. 27 November 2026 (Jumaat)

Seramai 288 atlet bakal berentap dalam kejohanan BSP Grand Prix Muaythai 2026 yang turut menampilkan ikon Muay Thai antarabangsa, Rodtang Jitmuangnon sebagai tarikan utama.

Kejohanan anjuran BSP Muaythai Studio dengan kerjasama Hallo Fight Lab itu berlangsung selama dua hari pada 28 dan 29 November 2026 di Hextar World @ Empire City Hall, Petaling Jaya, Selangor.

Daripada keseluruhan jumlah penyertaan itu, seramai 260 merupakan atlet amatur manakala 28 lagi atlet profesional yang bakal beraksi dalam 14 perlawanan profesional.

Ketua Pegawai Eksekutif BSP Muaythai Studio, Uwais Abdullah berkata, penganjuran kejohanan berkenaan merupakan inisiatif bagi menyediakan platform kompetitif kepada atlet tempatan, selain mengembangkan minat masyarakat terhadap sukan Muay Thai.

Menurutnya, kejohanan seumpama itu bukan sahaja memberi peluang kepada atlet menguji kemampuan dan menonjolkan bakat masing-masing, malah membina keyakinan, disiplin serta pengalaman bertanding di peringkat lebih tinggi.

Perkara itu dimaklumkan menerusi sidang media BSP Grand Prix Muaythai 2026 yang berlangsung di Potrait Hotel, Empire City, Petaling Jaya, pada Jumaat.

Turut hadir Pengarah Kejohanan dari Hallo Fight Lab, Mohd Hazrul Mohd Sapri serta ikon Muay Thai antarabangsa, Rodtang Jitmuangnon.

Kerjasama strategik antara BSP Muaythai Studio dan Hallo Fight Lab itu turut memberi tumpuan kepada kelancaran penganjuran serta usaha menyediakan pengalaman terbaik kepada atlet dan pengunjung.

Kehadiran Rodtang yang mempunyai reputasi besar dalam arena sukan tempur dunia dijangka menarik perhatian peminat Muay Thai di Malaysia.

Lebih istimewa, pengunjung turut berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan bintang Muay Thai dari Thailand itu menerusi sesi khas Meet & Greet

Penganjuran kejohanan tersebut diharap dapat memberi inspirasi kepada generasi muda serta atlet tempatan untuk terus bergiat aktif dalam sukan Muay Thai.

Tiket harian bagi menyaksikan kejohanan itu ditawarkan pada harga RM35 untuk dewasa dan RM20 bagi kanak-kanak.

Sementara itu, pas kombo bagi kedua-dua hari kejohanan ditawarkan pada harga RM60 untuk dewasa dan RM30 bagi kanak-kanak.

Orang ramai khususnya peminat sukan tempur dijemput hadir bagi menyaksikan aksi barisan atlet amatur dan profesional yang bakal memeriahkan kejohanan berkenaan.
