‘Rakyat Benci Rasuah!’ – 150 aktivis, mahasiwa berarak bantah tahanan rumah Najib
“Rakyat benci rasuah”. Demikian ayat tertera pada salah satu kain rentang besar yang diarak 150 penunjuk perasaan dan kumpulan mahasiswa hari ini bagi membantah tahanan rumah yang sedang dijalani bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Najib ketika ini sedang menjalani baki hukumannya di Langgak Duta selepas Lembaga Pengampunan memberikan pengampunan bersyarat yang memerlukan beliau melunaskan denda sebanyak RM50 juta.
Menurut laporan media, aktivis dan mahasiswa berarak di jalan raya sekitar ibu kota dalam keadaan hujan lebat.
Berpakaian serba hitam, peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah itu berarak dari pusat beli-belah Sogo menuju ke Dataran Merdeka, sambil membawa sepanduk ‘Kami Benci Rasuah’ dan melaungkan slogan ‘Hidup rakyat, tolak rasuah’.
Memetik FMT, seorang daripada penganjur, Brendon Gan, berkata perhimpunan itu bukan bertujuan mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya membantah apa disifatkannya sebagai layanan tidak adil di sisi undang-undang.
Beliau yang juga pengerusi Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram), berkata membenarkan Najib menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah akan mewujudkan satu duluan yang amat berbahaya.
“Adakah kita akan berdiam diri sahaja apabila ahli politik pada masa hadapan merompak Malaysia dan dibenarkan pulang ke rumah?” katanya kepada pemberita selepas perarakan tersebut seperti dipetik.
Pihak penganjur juga menyeru kerajaan menggantung tahanan rumah Najib, sementara menunggu cabaran di mahkamah serta menjelaskan asas perundangan yang membenarkannya menjalani baki hukuman kes SRC International di rumah.
Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah tahanan rumah terhadap Najib pada 6 Nov selepas Umno melunaskan denda RM50 juta dalam kes SRC International.