Anwar lancar Masjid Warisan, sentuhan anak muda UIAM bakal menjadi mercu tanda baharu Kuala Lumpur

Bakat dan kreativiti sekumpulan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencuri perhatian ramai selepas cadangan reka bentuk Masjid Warisan berhampiran Tun Razak Exchange (TRX) tular di media sosial.

Projek pembinaan masjid dengan siling peruntukan RM70 juta itu diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 November lalu.

Kumpulan mahasiswa dikenali sebagai Terasia muncul pemenang tempat pertama dalam pertandingan reka bentuk masjid menerusi kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), UIAM.

Wakil kumpulan berkenaan, Amir, menerusi perkongsian di Threads menjelaskan bahawa pasukannya mengetengahkan konsep Resonance of Heritage bagi mengangkat nilai warisan di tengah-tengah kepesatan pembangunan Kuala Lumpur.

Kumpulan tersebut menghimpunkan mahasiswa daripada pelbagai bidang termasuk seni bina, perancangan bandar, seni bina landskap, reka bentuk dalaman dan ukur bahan.

Menurut Amir, reka bentuk bumbung tiga lapisan yang menjadi antara tarikan utama masjid itu mendapat inspirasi daripada Masjid Sungai Besi, selain mengambil kira aspek pengudaraan bangunan.

Pasukan berkenaan turut mencadangkan pelbagai kemudahan masyarakat termasuk penginapan musafir, bilik penyusuan ibu, kemudahan pengurusan jenazah, bilik pembelajaran dan bilik mesyuarat.

Aspek kebolehcapaian turut diberikan perhatian menerusi cadangan laluan penghubung ke stesen MRT TRX, LRT Pudu dan stesen bas berhampiran.

Lebih menarik, mahasiswa bidang ukur bahan turut mendapatkan bimbingan pensyarah dan perunding profesional bagi menyediakan perincian kos serta dokumen berkaitan berdasarkan parameter RM70 juta yang ditetapkan dalam pertandingan tersebut.

Amir turut menjelaskan bahawa perincian kos berkenaan mungkin berbeza daripada projek pembinaan sebenar.

Beliau merakamkan penghargaan kepada ahli pasukan, pensyarah, penyelia, MAIWP dan UIAM atas peluang mengendalikan sebuah projek multidisiplin yang memberikan pengalaman berharga kepada mereka.

Kejayaan Terasia membuktikan potensi generasi muda Malaysia dalam menghasilkan reka bentuk yang menggabungkan keperluan masyarakat moden dengan pemeliharaan identiti seni bina Melayu-Islam.

BACA JUGA ‘Rakyat Benci Rasuah!’ – 150 aktivis, mahasiwa berarak bantah tahanan rumah Najib