Agihan kerusi pilihan raya negeri dijangka selesai hujung Mei

Pengagihan kerusi bagi parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk pilihan raya di enam negeri nanti akan dimuktamadkan hujung bulan ini, kata seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Datuk Seri Bung Moktar Radin yang ditanya selepas mesyuarat MT UMNO malam tadi berkata buat masa ini proses tersebut masih belum selesai di peringkat negeri.

“(Agihan kerusi) Belum muktamad dan di peringkat negeri, diminta bincang dan belum diputuskan… ,” katanya selepas menghadiri mesyuarat itu di Menara Dato’ On, Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC), Kuala Lumpur malam tadi.

Ia dipengerusikan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Memetik laporan Bernama, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata mesyuarat itu turut membincangkan hala tuju dan perancangan untuk memperkasa parti dalam berhadapan dengan PRN.

Sementara itu, seorang lagi ahli MT UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata mesyuarat turut mendengar penjelasan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung saranan beliau agar ahli parti itu mengundi DAP pada PRN kali ini.

“Ahmad Maslan beri penjelasan bahawa dia sebenarnya mengajak ahli menyokong calon Kerajaan Perpaduan, itu sahaja… tiada sebut pasal DAP pun… Kita terimalah penjelasan itu. Kita nak Kerajaan Perpaduan kekal hingga cukup penggal,” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Kelantan dan Terengganu bakal mencapai tempoh matang dan terbubar secara automatik pada akhir Jun ini manakala Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang terbubar pada Julai serta Ogos.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyatakan bahawa PRN di keenam-enam negeri sesuai dilaksana pada Ogos selepas kesemua DUN mencapai tempoh matang.

BACA JUGA: Keputusan pengagihan kerusi BN-PH selepas pembubaran DUN