Dana judi: “Saya tidak keluar kenyataan tanpa asas” – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan membuat sebarang dakwaan tanpa asas berhubung dana pilihan raya umum lalu  yang diperoleh Perikatan Nasional (PN) dikaitkan dengan sumber syarikat judi.

Perdana Menteri berkata Pengerusi PN, Tan Sri Mahiaddin Yassin boleh membawa perkara tersebut ke mahkamah jika beliau mahu namun perlu terlebih dahulu membaca kenyataan lengkap mengenai siasatan membabitkan dana itu.

“Sila baca kenyataan dengan lengkap dan baru ambil tindakan. Tapi kalau dia (Mahiaddin) mahu bawa terus, silakan.

“Saya tidak akan mengeluarkan kenyataan kalau saya tidak ada asas (bukti),” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Beliau mengulas berhubung kenyataan Mahiaddin yang mahu mengambil tindakan undang-undang selepas kenyataan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai bukti dana diterima PN ada kaitan dari sumber syarikat judi.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana  Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman menegaskan beliau tidak mahu mana-mana pihak memutar belit jawapannya di Dewan Rakyat mengenai perkara itu.

Tegas beliau pihaknya tidak pernah menyatakan bahawa siasatan mengenai dana judi itu dihenti atau digugurkan.

BACA JUGA: Dana judi: Jangan putar belit, saya tidak kata siasatan dihenti – Azalina