Menteri santuni warga miskin kota
Duduk bersila santuni warga miskin kota. Itu yang dilakukan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Kuala Lumpur petang semalam.
Presiden AMANAH itu berkata, beliau turun menyaksikan usaha NGO Dapur Jalanan Kuala Lumpur (DJKL) yang menyediakan makanan bagi warga Kuala Lumpur yang memerlukan.
Kunjungan Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja di Jalan Panggong yang terletak kira-kira 300 meter dari Pasar Seni itu sempena ulang tahun sedekad penubuhan NGO tersebut.
“Saya dimaklumkan hari ini Dapur Jalanan Kuala Lumpur menyambut ulang tahun mereka yang ke-10.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan anak muda ini yang mengambil berat perihal kesempitan insan lain,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau tertarik dengan slogan NGO yang mengagihkan makanan kepada warga miskin kota itu.
“Saya amat tertarik dengan tagline DJKL “Makanan adalah hak untuk semua”, ia mengingatkan kita semua kepada tanggungjawab yang kita pikul sebagai seorang mukmin,” katanya.
Beliau turut memetik hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tabrani, yang bermaksud, dari Ibnu Abas dari Nabi SAW, tidak termasuk orang mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan.
BACA JUGA Rumah terbuka Mohamad Sabu penuh sesak dengan manusiaÂ