Selangor tegas martabat bahasa Melayu
Selangor tegas dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu melalui pelbagai inisiatif termasuk menjayakan kegiatan penterjemahan buku pelbagai genre, kata Menteri Besar Selangor.
Datuk Seri Amirudin Shari berkata memupuk kecintaan terhadap bahasa Melayu adalah penting kerana bahasa menunjukkan jiwa bangsa kepada negara.
“Ini supaya korpus bahasa Melayu itu kuat dengan sari kata dan juga besar dengan perkataan ilmu supaya tidak tenggelam dengan paparan luaran.
“Kita lihat anak-anak sekarang suka berfesyen dengan pakaian (tradisional) termasuk tengkolok, tetapi apabila bercakap, ‘hi guys’.
“Jadi, ia tidak kena dengan langgam bahasa. Kalau kita kekalkan bahasa ini dengan cara betul, InsyaAllah kita akan berbangga dengan bahasa kita,” katanya memetik laporan Selangorkini.
Beliau berucap pada Malam Bahasa Jiwa Bangsa yang dianjurkan sempena pesta bahasa dan sastera peringkat negeri Selangor di Pustaka Raja Tun Uda, malam tadi.
Jelasnya, selain menerbitkan bahan terjemahan, di Selangor turut disuburkan dengan adanya perpustakaan, buku dan sebagainya.
Amirudin turut mendeklamasikan sajak berjudul ‘Dalam Kesopanan Kita’ karya Sasterawan Negara (SN), Datuk Rahman Shaari.
Pada program itu, tiga SN iaitu Datuk Dr Zurinah Hassan, Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Datuk Seri A Samad Said turut mendeklamasikan puisi masing-masing.
Majlis turut diserikan dengan deklamasi puisi bertajuk ‘Kesal Seorang Ibu Yang Bekerja’ karya Zurinah oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Festival dua hari bermula semalam bertujuan memartabatkan bahasa dan sastera selain menambah minat membaca dalam kalangan rakyat Selangor.
Pada Julai 2019, kerajaan negeri Selangor menetapkan semua papan tanda jalan di negeri itu menggunakan hanya satu bahasa iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Keputusan kerajaan negeri itu sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 serta ia juga selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
BACA JUGA Amirudin mahukan satu penggal lagi
Â