Dakwa Umno bakal “mati dalam gula”, Hadi terdesak dapat kembali sokongan

Pemuda AMANAH Terengganu menganggap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai dengki melihat Umno bersama dengan Kerajaan Perpaduan apabila mendakwa parti Melayu itu akan menjadi seperti semut mati dalam gula yang ditaburkan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pemudanya, Zamir Ghazali berkata mana mungkin Umno menjadi semut yang mati sedangkan penyertaan parti tunggal mewakili suara terbesar orang Melayu dalam Kerajaan Perpaduan itu membolehkan membolehkan kestabilan politik dalam negara tercapai.

Beliau menyifatkan kenyataan Pas itu sebagai terdesak untuk mendapatkan sokongan Umno supaya mereka boleh kembali menguasai Putrajaya

“Kewujudan Umno dalam Kerajaan Perpaduan hari ini adalah punca utama kepada kestabilan politik, maka mana mungkin punca kestabilan itu diibaratkan sebagai semut yang mati.

“Cita-cita Pas (kuasai Putrajaya) sebenarnya dihancurkan oleh sikap rakus pemimpinnya dan Perikatan Nasional sendiri.

“Ini apabila mereka tidak menghormati institusi Presiden dalam Umno dan membelakangi Majlis Kerja Tertinggi Umno, dengan bertindak secara luar tabii mendapatkan sokongan 10 ahli Parlimen Umno dan BN bagi membentuk kerajaan selepas PRU15 lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi menolak tanggapan bahawa Umno akan dibunuh oleh Pas sekiranya bersama dengan parti Melayu Islam itu.

Ahli Parlimen Marang itu sebaliknya mendakwa Umno akan menjadi seperti semut yang mati dalam gula ditaburkan oleh PH dan penyumbang rasuah yang mendukung gabungan tersebut.

Pas katanya telah mengajak Ahli Parlimen Umno selepas Pilihan Raya Umum ke-15 supaya kembali kepada prinsip Islam memimpin bagi mencukupkan jumlah majoriti.

“Malangnya, pihak Umno itu meninggalkan prinsip perjuangan mereka dan memilih jawatan yang ditawarkan oleh PH yang dikuasai oleh DAP,” dakwa Hadi.

Sementara itu, Zamir menasihatkan agar Abdul Hadi lebih memberi tumpuan kepada wakil rakyatnya supaya mereka boleh berfungsi dengan baik di Parlimen sebagai pembangkang.

“Dibuktikan dengan komitmen jitu kehadiran dan kualiti terbaik dalam perbahasan. Ibarat kata, jika tidak mampu menjadi lebah membawa benih debunga, jangan pula menjadi langau membawa serabut yang busuk ‘banga’ (terlalu berbau busuk),” katanya.

Â