Anthony Loke, Menteri Pengangkutan pilihan rakyat!
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mendapat perhatian orang ramai di negara ini sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah sebagai menteri buat kali kedua. Dengan pengalaman dalam kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, Loke telah mendapat pujian dari pelbagai pihak. Berikut adalah sebab-sebab kenapa ia boleh berlaku dan sepatutnya menjadi panduan kepada menteri lain dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Walaupun Anthony Loke mula clock in pada Selasa, 6hb Disember, beliau dah pun memulakan tugasnya sehari sebelum itu. Bersama dua lagi pembantunya, mereka turun padang dan merasai sendiri keadaan dalam tren LRT Kelana Jaya terutamanya pada waktu puncak, sekitar 5 hingga 7 petang bagi meninjau sendiri masalah rakyat.
Tiada wartawan apatah lagi karpet merah, beliau datang dengan menyamar sebagai pengguna LRT, dan bukannya sebagai menteri demi merasai sendiri pengalaman sebagai penumpang LRT setiap hari – kekerapan tren yang kurang, menyebabkan tren padat dan tidak selesa.
Beliau tak mengambil masa yang lama untuk bertindak. Hasil ground level worknya, kini penambahan tren yang sedang diselenggara dipercepat, bersama pembelian tambahan 19 set tren lagi, dengan jangkaan perkhidmatan LRT akan lebih stabil menjelang Jun 2023. Malah, kekerapan tren LRT akan meningkat dari 5 minit ke 3 minit disokong oleh sistem dan teknikal.
“Kita mahu memastikan perkhidmatan LRT akan jadi lebih stabil, efisien, dan selamat kepada penumpang-penumpang. Saya akan memantau secara peribadi.”
TURUN PADANG SENDIRI DAN MELIHAT SITUASI DI LRT, MRT, DAN KTM
Bukan sahaja LRT, beberapa hari kemudian KTM juga menjadi target memandangkan servis ini selalu digunakan penumpang saban hari. Sekali lagi, beliau menyamar sebagai penumpang bagi meninjau servis perkhidmatan awam.
Hasil penyamaran tersebut, beliau menyatakan servis yang ditawarkan agak tidak memuaskan hati memandangkan kekerapan tren yang perlahan berbanding LRT.
Beliau kemudian berjumpa dengan pihak pengurusan KTMB bagi membincangkan cara menambah kekerapan perkhidmatan komuter, dan penambahbaikan lain. Beliau dalam masa sama memahami bahawa KTMB menghadapi pelbagai kekangan operasi disebabkan projek menaik taraf Landasan Berkembar Lembah Kelang 1 (KVDT1) yang masih belum siap dan KVDT2 yang tergendala.
PEMBAIKAN LIF DAN KEMUDAHAN LAIN YANG BERKAITAN
Tidak hanya fokus pada perkhidmatan tren semata-mata. Berdasarkan pemerhatian beliau, terdapat pelbagai kemudahan yang rosak dan masih belum diperbaiki sejak sekian lama, iaitu sebanyak 16 lif di stesen-stesen monorail, 46 eskalator, 664 lampu yang tak berfungsi di seluruh stesen LRT & Monorel yang sedang berjalan.
Disebabkan kemudahan ini menyusahkan orang awam terutamanya golongan OKU yang sangat memerlukannya, beliau kemudian menugaskan petugas LRT & Monorel dan polis-polis bantuan untuk memberi pertolongan pada golongan OKU yang memerlukan bantuan untuk naik atau turun sementara lif dibaiki sebelum pembaikan dijalankan.
Tak lama selepas Anthony Loke turun padang, eskalator KLCC yang sudah 3 tahun rosak juga akhirnya diperbaiki.
MASALAH CETAK PAS MASUK BAS DI TBS
Selain tren, beliau juga menerima banyak maklum balas dari media sosial berkenaan perkhidmatan komuter dan masalah mencetak Pas Masuk Bas di TBS.
Beliau sendiri berjumpa dengan pihak pengurusan TBS untuk membincangkan kesiapsiagaan untuk menguruskan jumlah penumpang yang ramai pada hujung minggu dan terutama sekali pada musim perayaan.
BERJAYA MENERUSKAN PROJEK ECRL, DENGAN PENJIMATAN 11 BILLION!
Tak dinafikan, ECRL adalah projek kerajaan BN terdahulu. Namun, ada pelbagai masalah kewangan yang wujud sehingga ia hampir dibatalkan.
Tapi disebabkan projek ini mampu memanfaatkan rakyat yang berada di kawasan luar bandar, projek ini diteruskan juga melalui hasil rundingan sejak 2018 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.
Kos pembinaan keseluruhan pada asalnya bernilai sekitar RM86 billion berjaya dikurangkan sehingga RM74.96 billion. Maka, penjimatan kos keseluruhan projek Rel Pantai Timur (ECRL) adalah sebanyak RM11 billion!
MENGHUBUNGI SENDIRI MALINDO AIR BAGI PERMOHONAN MAAF KEPADA PENUMPANG
Rentetan aduan seorang pengguna Twitter tentang kelewatan penerbangan Batik Air (dulunya adalah Malindo Air) selama lebih 8 jam, Anthony Loke bertindak mendapatkan jawapan terus dari Malindo Air.
Selesai perbincangan, beliau mengarahkan pengurusan syarikat penerbangan tersebut memohon maaf dan bertanggungjawab kepada semua penumpang yang ‘tersadai’ di lapangan terbang.
SISTEM PENDEKKAN LALUAN MENDARAT PESAWAT
Menurut Anthony Loke, sistem ini dianggarkan mampu menjimatkan kos bahan bakar sebanyak hampir RM500 juta setahun untuk syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA.
Perjalanan buat penumpang juga akan jadi lebih efektif dan pantas jika pesawat boleh mendarat tepat pada waktunya.
BERJAYA TURUNKAN HARGA TIKET KAPAL TERBANG
Sebelum ni harga tiket kapal terbang selalu menjadi isu terutama sekali pada musim perayaan. Tapi kali ini, Anthony Loke dalam perbincangannya bersama CEO AirAsia berjaya meyakinkan syarikat penerbangan tersebut untuk menurunkan tambang tetap lebih rendah di musim perayaan supaya dapat menghubungkan keluarga yang jauh, terutama sekali yang berada di Sabah dan Sarawak untuk beraya bersama. Ni baru betul, Now Everyone Can Fly!
SPOTCHECK DI KLIA2
Pada hari yang sama sebelum pelancaran tambang murah AirAsia, Anthony Loke juga sempat buat spot-check di KLIA2 selepas mendapat maklum balas daripada orang ramai.
Antara permasalahan tersebut adalah berkaitan dengan e-hailing, jalan tak rata akibat mendapan tanah, dan juga sistem pencahayaan yang lebih baik yang perlu dibaiki pada waktu malam. Hasilnya, pihak pengurusan telah melantik kontraktor dan kerja menaiktaraf akan dijalankan di penghujung Januari depan.
Tak cukup kagum lagi?
BONUS: ANTHONY LOKE TAK PERNAH RAYU APA-APA JAWATAN JIKA MENANG, TAPI AKHIRNYA DIPILIH RAKYAT SEBAB TRACK-RECORD CEMERLANGNYA
Sebelum PRU15 lagi, DSAI sendiri pernah memuji Anthony Loke dan Mat Sabu yang tak pernah langsung membincangkan jawatan jika Pakatan Harapan menang pada PRU15.
Yang ada dalam perbincangan hanyalah strategi untuk menang, dan melantik Anwar sebagai PM. Semua perjanjian ini dilakukan tanpa syarat, kecuali – tadbir urus negara yang baik, tiada kegiatan rasuah, dan tiada rasisme. Malah kata DSAI, inilah kualiti yang ada dalam PH, tidak pernah berunding untuk mempertahankan kepentingan tersendiri.
Perkara ini terbukti kerana setelah DSAI dilantik sebagai PM10 pun, AL menyerahkan segalanya pada DSAI untuk membuat pertimbangan yang dirasakan terbaik buat rakyat Malaysia, demi menjayakan Kerajaan Perpaduan.
Memandangkan Anthony Loke pernah dilantik sebagai Menteri Pengangkutan selepas kemenangan pertama PH merampas Putrajaya, ramai yang sudah membuka mata dengan hasil kerja beliau yang jujur dan komited dalam menunaikan tugas.
Malah, sebelum Kabinet baru dibentuk selepas Anwar dilantik sebagai PM, Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim melantik Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan.
Menurut presidennya, sokongan tersebut adalah berdasarkan “track record” beliau ketika menjawat jawatan berkenaan. Malah, mereka percaya dengan lantikan Anthony Loke sekali lagi, akan ada peningkatan taraf yang lebih efisien dalam pengangkutan awam.
Hanya dalam tempoh masa sebulan berkhidmat sebagai Menteri Pengangkutan, pelbagai perubahan positif berjaya dilakukan oleh Anthony Loke, dan ini adalah bukti yang beliau selaku salah seorang Menteri dalam Kerajaan Perpaduan mengambil berat rintihan dan aduan rakyat demi Malaysia yang lebih maju.
Kecekapan kerjanya juga adalah sepantas Bullet Train. Tak mustahil beberapa tahun akan datang Malaysia pun mungkin ada sebuah Bullet Train hasil cetusan idea dan kepantasan tindakan Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke!