9,078 jemaah haji Malaysia sudah berada di Mekah, Madinah
Sejumlah 9,078 jemaah haji Malaysia sudah berada di Tanah Suci meliputi 2,966 orang di Mekah manakala 6,112 lagi di Madinah.
Jemaah itu melibatkan kumpulan yang telah berlepas dari tanah air pada 21 Mei lalu melibatkan 30 daripada 98 penerbangan manakala pesawat terakhir dijangka tiba di Tanah Suci pada 21 Jun ini.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, setakat ini operasi haji berjalan lancar dan kesihatan para jemaah berada dalam keadaan baik.
“Cumanya lapan jemaah telah dimasukkan ke hospital iaitu enam individu di Hospital Tabung Haji (TH) di Madinah dan Makkah manakala dua lagi ditempatkan di hospital Arab Saudi di Mekah
“Mereka yang berusia 60 tahun ke atas itu dirujuk ke hospital kerana mengalami jangkitan paru-paru dan seorang jemaah wanita cedera pada kaki kerana terjatuh,” katanya dalam sidang media mingguan di Abraz Al Janadriyah, Mekah semalam, lapor Sinar Harian.
Sementara itu, Syed Saleh memberitahu Malaysia sekali lagi menjadi negara pertama mendapat kebenaran daripada kerajaan Arab Saudi pada 25 Mei lalu untuk membuka operasi pusat kesihatan di Madinah.