Tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang: Sanusi berhentilah bersandiwara – PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Menteri Besar Kedah untuk tidak mempolitikkan isu tuntutan negeri itu terhadap Pulau Pinang.
Menurutnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu memahami isi kandungan penjanjian yang telah dipersetujui melibatkan kedua-dua negeri itu sebelum membuat apa-apa kenyataan.
“Perlu faham dahulu (Sanusi) perjanjian walaupun beratus tahun dahulu tetapi ia (penyerahan Pulau Pinang) adalah perjanjian yang jelas.
“Ucap sandiwara politik itu soal lain, tetapi bercakap sebagai menteri besar saya fikir wajar (Sanusi) terikat dengan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil yang diadakan di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah Menteri Kewangan itu, ulasannya terhadap isu tuntutan Kedah itu selari dengan peguam negara yang juga menolak isu tersebut dibangkitkan.
“Saya boleh komen berdasarkan ulasan peguam negara yang cukup keras dengan tindakan tersebut dan menggesa agar ia menghormati perjanjian yang diperkenan oleh semua Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah,” ujarnya.
Semalam, dalam perjanjian sempadan darat dan maritim Kedah-Perlis, Sanusi mendakwa Pulau Pinang adalah milik negeri Jelapang Padi itu.
Beliau sebelum ini dilaporkan, telah membuat dakwaan tersebut beberapa kali dan mendapat pelbagai kecaman termasuklah Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Â