Malaysia hargai kepercayaan Saudi, mudahkan perjalanan jemaah haji ke Mekah
Malaysia amat menghargai kepercayaan yang diberikan Kerajaan Arab Saudi untuk meneruskan program “Mecca Route” yang mula dilaksanakan pada tahun 2017, kata Menteri Luar.
Beliau berkata Malaysia merupakan negara tunggal yang dipilih Kerajaan Arab Saudi untuk projek rintis program itu sebelum disusuli pada tahun berikutnya dengan penyertaan Pakistan, Indonesia, Maghribi dan Bangladesh.
“Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi yang memberi kepercayaan kepada Malaysia.
“Ini adalah satu daripada perkhidmatan terbaik dan saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Arab Saudi. Kami sedia bekerjasama dalam bidang-bidang lain,” kata Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan tinjauan ke kaunter khas Jabatan Imigresen dan Imigresen Arab Saudi bagi program “Mecca Route” di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang malam tadi.
Zambry berkata program itu dapat mempercepatkan proses dokumentasi bakal jemaah haji tanpa perlu bersesak dengan penumpang bagi destinasi lain.
“Ini merupakan pendekatan kreatif yang dilaksanakan Kerajaan Arab Saudi. Bukan semua negara dapat keistimewaan seumpama ini,” katanya.
Program “Mecca Route” membolehkan bakal jemaah haji Malaysia ke Mekah tanpa perlu melalui prosedur yang memakan masa sebaik tiba di lapangan terbang di Arab Saudi.
Menerusi program itu, anggota imigresen Arab Saudi yang berada di kaunter di KLIA bagi program itu akan memeriksa pasport jemaah haji dan apabila tiba di lapangan terbang Madinah atau Jeddah, jemaah haji Malaysia tidak perlu lagi menunggu proses imigresen dan kastam di negara itu.
Sementara itu, Duta Arab Saudi ke Malaysia Mesaad Ibrahim Abdullah Al Sulaim mendoakan jemaah haji Malaysia yang mengerjakan ibadah itu pada tahun ini mendapat haji yang mabrur.
“Kami gembira untuk memudah cara jemaah haji Malaysia. Alhamdulillah, Insya-Allah mereka akan mendapat haji yang mabrur,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Syed Hamadah Syed Othman sebelum ini dilaporkan berkata seramai 31,600 jemaah haji yang merupakan kuota penuh rasmi negara akan berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima.
Penerbangan pertama jemaah haji negara bermula pada 21 Mei manakala penerbangan pulang terakhir ialah pada 1 Ogos depan.
BACA JUGA: 9,078 jemaah haji Malaysia sudah berada di Mekah, Madinah