Gabungan KPDN, PKPS perkenal program JER
Kerajaan negeri Selangor buat pertama kali memperkenalkan Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) hasil gabungan kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, bersama kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kementeriannya komited memastikan konsep seperti JER dapat diteruskan dengan memastikan libat urus bersama semua pemain industri diperkukuh dari masa ke semasa.
Untuk itu, beliau memaklumkan akan membawa satu usul ke mesyuarat Kabinet agar satu konsortium Rahmah dapat ditubuhkan – bertujuan menyelaraskan segala program Rahmah dan projek-projek di bawah konsortium tersebut.
“Saya agak teruja dan terkejut sebenarnya bila ada cadangan untuk kerajaan Selangor sama-sama dengan Kementerian KPDN bersama-sama melangsungkan Jualan Ehsan Rahmah.
“Saya ucapkan terima kasih di atas penghargaan diberikan dan rasa cukup terharu di atas kesudian Kerajaan Selangor bergabung berpadu tenaga memastikan golongan sasar mendapat faedah dan membntu mereka dalam mendepani kos sara hidup.
“Perkahwinan Ehsan dan Rahmah akan dapat berikan banyak manfaat kepada rakyat di Selangor. Saya gembira di atas program ini. Saya akan terus bersemangat untuk meneruskan apa jua bentuk bantuan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran dan Jualan Mega Ehsan Rahmah (JER) anjuran KPDN bersama Kerajaan Negeri Selangor menerusi PKPS.
Susulan daripada hasrat dan matlamat yang sama, terhasil satu persetujuan bersama di antara KPDN Selangor dengan Kerajaan Negeri untuk mengambil langkah ke hadapan di mana inisiatif JER dilihat dapat mengurangkan kos pelaksanaan, meningkatkan impak dan memberi manfaat kepada lebih ramai golongan yang kurang berkemampuan di negeri Selangor.
Majlis pelancaran program JER adalah sebagai tanda “kick-off” kepada program yang akan dilaksanakan di semua 56 kawasan DUN seluruh megeri Selangor, di mana lokasi dan keperluan logistik diuruskan oleh pihak DUN.
Program JER yang pertama ini menawarkan dan memfokuskan penjualan bagi tujuh jenis barang keperluan asas utama pengguna seperti Ayam Segar, Beras, Telur Ayam, Minyak Masak, Ikan, Gula Pasir dan Daging Sejuk Beku pada harga runcit serendah 30 peratus berbanding harga pasaran.
Jualan JER dengan premis terbuka berlangsung selama tiga jam sahaja.
Elektrik Rahmah
Sementara itu, Salahuddin memaklumkan satu lagi berita baik buat rakyat akan diumumkan di mana Program Elektrik Rahmah akan diperkenalkan dalam masa terdekat.
Menurutnya, ada beberapa pemain industri sudah pun menghubunginya untuk bekerjasama dalam sektor itu.
“Selepas Menu Rahmah dan Jualan Rahmah, KPDN akan menerokai satu kawasan baru iaitu rakyat akan dapat beli barangan elektrik Rahmah.
“Telah ada syarikat hubungi kami dan libat urus akan dilakukan segera. In shaa Allah dalam beberapa tempoh akan saya umumkan rakyat akan ada pakej beli barangan elektrik Rahmah,” ujarnya.
Â