Antara caramel latte, matcha latte, vanila latte dan kelatte

Video yang dibuat oleh seorang Tiktoker dari Kelantan ini ringkas sahaja. Bahasanya pun mudah dan sangat senang difahami.

“Nak air, nak pembangunan? Itu semua dunia. Hok paling kita nak adalah…Pertahankan kepimpinan ulamak. Takbirrr,” kata tiktoker yang menggunakan nama Baby Azreen dalam video ringkas ini.

Video pendek Baby Azreen itu disalin semula dan diulas oleh pelbagai pihak dalam akaun Tiktoks dan media sosial yang lain.

Video pendek yang dibuat Baby Azreen menceritakan tentang tema kempen di Kelantan dalam PRN nanti… nak dunia atau nak akhirat.

Sebenarnya inilah tema kempen utama pilihan raya negeri (PRN) di Kelantan yang dijangka akan berlangsung Julai atau Ogos tahun ini. Antara keperluan kepada pembangunan dan kemudahan untuk rakyat dengan mempertahankan Pas yang dikatakan mahu melaksanakan Islam.

Kelantan akan menyertai Kedah, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dalam PRN yang dijangka akan berjalan serentak Julai atau Ogos ini.

Sekali pandang, kenyataan yang dibuat oleh Baby Azreen seolah-olah pandangan Pas, parti yang memerintah di Kelantan sekarang.

Namun, jika diperhalusi, ia sebenarnya satu serangan halus yang maha tajam untuk kerajaan negeri Kelantan dan Pas.

Ia menikam jantung dan memecahkan saluran darah utama para pemimpin utama Pas dan penyokong mereka dan terpaksa dipertahankan secara berhempas pulas.

Ini kerana Baby Azreen berkata, kempen yang dibuat oleh pembangkang kepada kerajaan negeri Kelantan tidak perlu disokong kerana yang lebih penting bagi rakyat Kelantan adalah kepimpinan ulamak.

Takda air tak apa. Jalan sempit dan sesak tak apa. Stesen bas usang dan lapuk tak apa. Sampah bersepah di sana sini tak apa. Yang penting kita nak kepada kepimpinan ulamak atau yang jelasnya kita nak Pas kekal memerintah Kelantan.

Kerajaan negeri Kelantan sekarang diserang dengan pelbagai isu. Yang paling menarik adalah isu Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

AKSB dan Pas diserang kiri dan kanan oleh pelbagai pihak apabila membuat keputusan memberikan duit raya sebanyak RM10,000 untuk setiap ahli Lembaga Pengarahnya.

Dalam masa yang sama, Lembaga Pengarah yang terdiri dari sembilan anggota ini membuat keputusan untuk memberikan hanya RM200 untuk setiap kakitangannya.

Ia diberikan ketika rakyat Kelantan hari-hari bising tidak ada air di rumah mereka yang sepatutnya dibekalkan oleh AKSB, anak syarikat kerajaan negeri Kelantan ini.

Kalau ada airpun, airnya keroh umpama teh tarik kata orang KL manakala orang Kelantan pula memanggilnya sebagai Tea Beng.

Nama air Kelatte kini sebaris dengan nama besar jenama air yang lain.

Baru-baru ini, satu lagi nama baru diberikan oleh pemain media sosial terhadap air Kelantan ini… Kalau di tempat lain ada caramel latte, ada matcha latte, ada vanilla latte dan  di Kelantan kita ada kelatte yang warnanya hampir sama sahaja dengan air jenama besar itu.

Inilah serangan halus yang sedang menikam jantung pemimpin Pas di Kelantan sekarang. Mereka terpaksa berhempas pulas melawan balik naratif ini.

Isu duit raya untuk Lembaga Pengarah AKSB terpaksa dipertahankan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub. Mana tidaknya, salah seorang dari ahli Lembaga Pengarahnya adalah adik beliau sendiri, yang turut membuat keputusan dan menuai manafaat dari keputusan itu.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamad Amar pula terpaksa berhempas pulas mempertahankan projek pembangunan Lembah Sirih selepas diserang oleh wakil BN dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini.

Ketika pemimpin politik Kelantan berhempas pulas melawan serangan dari luar, isu dalaman juga membengkak dalam Pas khasnya di Kelantan.

Pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dua anak lelaki bekas MB Kelantan, Nik Omar dan Nik Abduh memberikan persepsi negatif kepada penyokong Pas.

Yang menariknya, selepas pertemuan itu ada pula pertemuan-pertemuan lain termasuk kunjungan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ke Maahad Darul Anwar di Pulau Melaka.

Isu sampul surat yang dibawa oleh Nik Abduh dalam pertemuannya dengan PM Anwar juga menimbulkan pelbagai persepsi dan tanggapan.

Semua ini adalah bunga-bunga menarik menjelang PRN di Kelantan Julai atau Ogos depan.

Bagi Pakatan Harapan, menghantar wakil rakyat yang mampu menyampaikan hasrat rakyat Kelantan ke koridor kuasa iaitu DUN Kelantan adalah strategi utama mereka dalam PRN kali ini.

Bagi mereka, menukar kerajaan Kelantan agak sukar sekarang dan menjadi sasaran realistik adalah menghantar seramai mungkin jurucakap rakyat ke DUN Kelantan.

Namun, jika semua rakyat Kelantan mempunyai fikiran itu…menghantar seramai mungkin suara rakyat ke DUN Kelantan… maka jatuhlah kerajaan Pas yang diasaskan oleh Tok Guru Nik Aziz 33 tahun lalu itu.

 

BACA JUGA  Kajian Endeavour MGC beri bayangan sokongan menjelang PRN 6 negeri

JUGA Skandal AKSB boleh sebabkan Pas terpelanting di Kelantan

DAN JUGA Pemuda Pas Kelantan desak siasat maklumat sulit AKSB bocor