Bolehkah Kedah tuntut Pulau Pinang? Peguam perjelas apa yang Sanusi tidak tahu
Bolehkah Menteri Besar Kedah mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang dan mengambil kembali negeri itu untuk menjadikannya sebagai sebahagian daripada Kedah?
Kenyataan terbaharu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencetuskan lagi ‘perang’ dua negeri apabila mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah.
Harapan Daily cuba mendapatkan penjelasan sebenar daripada Pengerusi Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH, Dr Zulqarnain Luqman bagi pencerahan dari sudut undang-undang berkenaan hal ini.
Menurutnya, kenyataan Sanusi kelmarin seperti mengulangi pendirian pada 9 Februari bahawa Pulau Pinang adalah wilayah yang dipajak dari Kedah, bersandarkan pembayaran RM10,000 setahun kepada Kedah.
Bagi Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri itu, apabila wujud pembayaran, ia membuktikan wujudnya pajakan.
Meskipun hujahan itu diterima sekali pun, namun Zulqarnain yang juga seorang peguam berpendapat ianya persis hujahan waris kesultanan Sulu yang menuntut Sabah disebabkan pembayaran wang pajakan kepada mereka setiap tahun.
Bersandarkan sejarah tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah, mahkamah tidak akan menyebelahi Sanusi jika hal ini dibawa ke mahkamah.
“Jika Sanusi mengambil jalan untuk mencabar perjanjian antara Sultan Kedah dan Francis Light di mahkamah sekali pun, mungkin mahkamah tidak akan menyebelahinya. Ini berdasarkan sejarah tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah.
“Mahkamah akan lebih memilih untuk berpegang kepada dokumen yang terpakai pada masa sekarang iaitu Perjanjian Malaysia dan juga peruntukan Perlembagaan.
“Melalui peruntukan Perlembagaan yang ada, Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang berdaulat yang mempunyai Gabenor, badan legislatif dan eksekutifnya yang tersendiri.
“Pulau Pinang sudah tidak menjadi sebahagian daripada negeri Kedah lebih daripada 200 tahun yang lalu.
“Jika ada pun hujah bahawa Perjanjian Inggeris dan Sultan Kedah itu tidak sah atau tidak wujud sekali pun, ianya sudah menjadi perkara yang lepas dengan berlakunya peristiwa yang lebih baharu,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.
Pada tahun 1786, Sultan Abdullah Mukarram Shah yang memerintah Kedah pada ketika itu, menyerahkan Pulau Pinang kepada wakil dari Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI), Francis Light melalui satu perjanjian penyewaan.
Jelasnya, sebagai timbal balik selepas menyerahkan Pulau Pinang, Francis Light perlu memberikan perlindungan kepada Kedah tetapi perjanjian itu dimungkiri.
Mengulas terperinci, Zulqarnain berkata cerita berkaitan pajakan negeri Pulau Pinang sudah lama dibangkitkan oleh beberapa orang ahli sejarah.
Namun, hal itu hanya berlegar di sekitar dunia akademik sahaja. Hal tersebut menjadi serius apabila dibangkitkan semula oleh Sanusi atas sifatnya sebagai Menteri Besar.
Lebih utama adalah, adakah rakyat Pulau Pinang boleh bersetuju tentang penggabungan negeri mereka ke Kedah memandangkan Pulau Pinang jauh lebih maju daripada segi ekonomi berbanding Kedah?
Zulqarnain berkata, kemasukan Pulau Pinang ke dalam Kedah hanya akan menyebabkan hasil ekonomi Pulau Pinang dibahagi-bahagikan dengan seluruh negeri Kedah dan ini pastinya akan menjejaskan pembangunan ekonomi Pulau Pinang sendiri.
“Mungkin Sanusi sendiri sudah buntu mencari sumber ekonomi untuk membangunkan negeri Kedah dan justeru cara yang paling mudah adalah untuk berkhayal dengan membayangkan Pulau Pinang menjadi sebahagian daripada Kedah dan secara automatik GDP Kedah akan meningkat secara mendadak.
“Kedah sendiri adalah lebih luas tanahnya berkali ganda daripada Pulau Pinang dan merupakan anugerah Allah.
“Sekiranya dibangunkan sektor pertanian khasnya sumber tanaman padi pastinya Kedah bukan setakat menjadi negeri jelapang padi bagi Malaysia bahkan juga menjadi jelapang padi bagi masyarakat dunia,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Tuntutan ke atas Pulau Pinang: Sanusi panik
Â